STADIUM Merdeka kembali menjadi saksi sejarah apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menyertai acara “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” yang menghimpunkan para legenda sukan tanah air dalam satu suasana penuh nostalgia dan penghargaan.

Acara santai itu bukan sekadar program berjalan kaki, sebaliknya menjadi platform meraikan warisan sukan Malaysia, selain mengembalikan memori kepada venue ikonik yang menyimpan ratusan kisah kejayaan atlet negara. Dengan diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda bertitah bahawa inisiatif ini lahir daripada keinginan untuk mengumpulkan tokoh sukan bagi berkongsi kenangan serta menyuburkan kembali semangat kecintaan terhadap sukan.

“Daripada saya berjalan seorang diri, lebih baik kita jemput legenda-legenda ini, atlet-atlet terdahulu, supaya kita dapat berkongsi pengalaman dan memori bersama. Jadi ia bukan sekadar berjalan, tetapi satu ruang untuk mengingati sejarah, menyemarakkan semangat, serta menyambung silaturahim,” titah baginda.

Antara legenda sukan yang hadir termasuk ikon bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann dan Datuk Santokh Singh, jaguh badminton Datuk Rashid Sidek dan Datuk James Selvaraj, bekas bintang hoki Nor Saiful Zaini Nasiruddin, pelari pecut G. Shanti serta pemenang pingat Sukan SEA terjun, Datuk Leong Mun Yee. Lebih 150 tetamu jemputan turut bersama menyertai program tersebut.

Dalam masa sama, baginda turut menyentuh isu semasa melibatkan hukuman FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan. Baginda bertitah agar semua pihak menahan diri daripada membuat spekulasi dan memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan secara profesional.

“Biar yang benar itu muncul daripada pihak yang bertanggungjawab. Perkara ini menjadi peringatan untuk masa akan datang — kita perlu perbetulkan keadaan demi cinta kita terhadap bola sepak negara. Kita harus bangkit daripada kegelisahan ini,” titah baginda.

Acara itu bukan hanya membawa nostalgia, tetapi juga memberi pesan halus: bahawa sukan bukan sekadar permainan, tetapi tunjang perpaduan dan maruah negara yang harus dijaga bersama.