KEM terjun negara kini giat meneliti resume jurulatih dari China dan tempatan, untuk mengisi tiga kekosongan dalam misi meningkatkan kualiti terjunan atletnya.
Seorang jurulatih antarabangsa diperlukan untuk mengisi keperluan atlet dalam Program Podium manakala dua jurulatih masing-masing satu antarabangsa dan satu tempatan akan ditempatkan bagi mengendali atlet pelapis kebangsaan.
Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, keperluan menambah jurulatih agak mendesak ketika ini.
“Hari ini kita bincangkan bersama MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menambah jurulatih di peringkat podium dan pelapis kebangsaan.
“Kita amat memerlukan jurulatih baharu terutamanya di peringkat pelapis kebangsaan, kerana ketika ini hanya ada seorang jurulatih iaitu Lu Jia Ning dari China yang mengendalikan 13 atlet pelapis.
“Kita rasa keperluannya amat diperlukan segera, kita nak dua untuk membantu jurulatih Jia Ning, bagi mengembangkan lagi skuad prestasi pelapis kebangsaan kerana terlalu besar jurang antara atlet pelapis dan podium,” kata Bryan, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan terjun bersama MSN, di Bukit Jalil.
Tambahnya, pemilihan calon sedang dibuat dan tujuan pihaknya mahukan seorang jurulatih tempatan di peringkat pelapis kebangsaan, bagi membolehkan jurulatih itu meraih ilmu daripada jurulatih antarabangsa terutamanya Jia Ning.
Dalam pada itu, untuk program Podium, hanya jurulatih antarabangsa dipilih bagi membantu tiga jurulatih sedia ada, iaitu Li Rui dan Li Junbai selain Datuk Leong Mun Yee.
“Sudah tentu kita mencari jurulatih antarabangsa dan antara resume yang ktia terima adalah calon yang pernah membawa atlet ke Olimpik, pernah melatih Venezuela, namun setakat ini siapa calon yang akan dipilih belum diputuskan lagi.
“Kita jangkakan pengambilan akan dibuat Februari tahun hadapan,” kata Bryan, sambil memberi bayangan hanya jurulatih dari China dan tempatan yang menghantar resume, setakat ini.