PASUKAN Bola Sepak Fourians A muncul Juara Kejohanan Piala Extra Joss Bawah 16 Tahun setelah berjaya menewaskan pasukan SMK Taman Dato’ Harun dengan jaringan 1-0 pada saingan yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan anjuran syarikat minuman tenaga Extra Joss bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang bertujuan untuk memupuk budaya sihat dan bersukan di kalangan remaja di Petaling Jaya.
Antara pasukan yang menyertai pertandingan ini adalah pasukan Kampung FC, Tropz FC serta Padang Jawa FC dengan juara bagi kejohanan ini membawa pulang hadiah bernilai RM 1,500 serta medal dan piala iringan sementara naib juara membawa pulang wang tunai bernilai RM 800, medal serta piala iringan dengan tempat ketiga membawa pulang hadiah bernilai RM350.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan Masyarakat), Y.M Ku Mustafa Ku Mohamad, Pengarah Urusan ExtraJoss Malaysia.
Menurut Pengurus Negara Malaysia, Oktavianus, kejohanan kali ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan sambutan yang menggalakkan daripada pasukan-pasukan yang berada di sekitar Petaling Jaya serta pasukan jemputan di seluruh Lembah Klang. Kejohanan ini juga akan diteruskan dimasa akan datang bagi merancakkan pertandingan bola sepak di peringkat remaja di Malaysia.
“Saya merasa gembira dengan sambutan yang ditunjukkan oleh pasukan-pasukan terlibat di mana pihak kami telah menerima penyertaan dari 32 pasukan. Insha Allah dimasa akan datang, pihak kami akan menambah jumlah pasukan yang terlibat dalam penganjuran program seperti ini.
“Harapan saya ianya akan dapat memberikan faedah kepada para remaja di samping mampu meningkatkan mutu bola sepak tanah air dengan pertambahan kejohanan di peringkat akar umbi,” ujarnya.