SRI Pahang FC kini berada di ambang peluang besar untuk menamatkan penantian lebih sedekad bagi kembali beraksi di pentas final Piala Malaysia, dengan cabaran separuh akhir pertama menanti mereka menentang Sabah FC di Stadium Likas, pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, memberi cabaran kepada skuad Tok Gajah untuk membuktikan kemampuan mereka dan memberikan hadiah bermakna kepada penyokong setia dengan membawa pasukan ke perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kali terakhir Pahang beraksi di pentas final adalah pada 2014, dan kini tiba masanya untuk kita membuktikan sesuatu kepada penyokong yang setia menyokong pasukan ini selama bertahun-tahun.
“Saya berharap pemain dapat menjadikan impian ini realiti kerana penyokong Tok Gajah pasti mahu melihat pasukan kesayangan mereka kembali beraksi di pentas berprestij ini,” kata Mohammed Suffian ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Beliau menegaskan bahawa keputusan positif di Likas penting sebagai bekalan untuk timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada 2 Februari nanti. Tambahan pula, dengan rekod terakhir pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super yang menyaksikan Pahang tewas tipis kepada Sabah di Temerloh, pengalaman itu diharap menjadi pengajaran berharga buat skuad kendalian Fandi Ahmad.
Menurut Mohammed Suffian, Pahang dan Sabah memiliki kekuatan yang hampir setara dengan barisan pemain tempatan serta import berkualiti, menjadikan perlawanan ini dijangka sengit. Namun, beliau percaya Tok Gajah sudah bersedia untuk bangkit dan menampilkan aksi terbaik mereka.
“Pemain perlu mengekalkan disiplin tinggi dan memberikan sepenuh tumpuan sepanjang perlawanan. Kita tidak boleh memandang rendah kekuatan Sabah yang memiliki pemain berkualiti. Apa yang penting adalah membawa pulang keputusan positif dari Likas,” tambahnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Pahang menjuarai Piala Malaysia adalah pada 2014, di mana mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 1-1.
Kini, dengan semangat dan sokongan penyokong setia, Tok Gajah berpeluang mencipta satu lagi sejarah gemilang dalam kempen Piala Malaysia musim ini.