Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan hadir dengan perancangan baharu susulan ketiadaan beberapa tonggak utama bagi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), hari ini dalam aksi Liga Super.

Tiga pemain iaitu Safwan Mazlan, Alif Zakaria dan Saiful Jamaluddin tidak dibawa ke Johor kali ini susulan digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning manakala Akhyar Rashid masih lagi dilanda kecederaan.

Tengku Hazman bagaimanapun percaya dengan kudrat barisan pemain lain yang akan menggalas tugas berat ini khususnya berdepan skuad seperti JDT yang tidak dinafikan kekuatannya di setiap posisi.

Apa yang pasti, beliau berharap perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim ini dapat memberikan sesuatu yang positif kepada barisan pemain untuk mereka cuba mengatasi segala asakan aggresif tuan rumah agar dapat memberi tentangan hebat.

“Kita tahu kualiti semua pemain JDT, walaubagaimanapun saya percaya kepada anak-anak buah untuk berusaha bermain sehabis baik.

“Sekarang agak sedikit terkesan disebabkan beberapa tonggak utama tidak diturunkan atas faktor kecederaan dan ada yang kena gantung juga, jadi saya kena buat beberapa pelan untuk aksi ini.

“Apa pun, kita akan terus fokus untuk melakukan yang terbaik dan belajar daripada kesilapan yang lalu bagi mendapatkan kedudukan yang terbaik di dalam liga”, jelasnya.

Terengganu FC ketika ini di tangga ke 5 lima selepas 19 perlawanan di mana keutamaan mereka adalah untuk memastikan pasukan tidak tercicir banyak mata dalam baki 5 lagi perlawanan liga sebelum tamat musim 2025-2026.