KELAB Terengganu FC tampil menafikan dakwaan bahawa kelab itu gagal membayar gaji hampir sembilan bulan kepada bekas penyerang, Ivan Mamut, sambil menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan berpunca daripada sumber bukan rasmi.

Pihak kelab juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih.

Menurut kenyataan rasmi TFC, Mamut telah menandatangani kontrak lanjutan untuk musim 2024/2025 pada Disember 2023, namun mengalami kecederaan serius Achilles Tendon pada Mac 2024.

Kenyataan media dari pihak TFC

Walaupun TFC menawarkan sokongan perubatan, Mamut memilih untuk menjalani rawatan di negaranya, Croatia, atas alasan proses pemulihan lebih baik di sana.

Selepas tempoh rehabilitasi, TFC mendapati kecederaan Mamut tidak menunjukkan kemajuan. Pada Julai, beliau kembali memohon untuk meneruskan rawatan di Croatia sehingga hujung tahun dan permintaan itu turut dipersetujui kelab.

Namun, sebaik kembali melapor diri pada Januari 2025, tahap kecergasannya tidak memadai untuk diserap semula ke dalam skuad.

TFC menegaskan bahawa mereka sentiasa menjaga kebajikan pemain dan terbuka untuk berbincang secara profesional jika terdapat sebarang isu tertunggak, seperti termaktub dalam kontrak.

Kelab turut mengingatkan agar isu ini tidak terus digembar-gemburkan kerana boleh menjejaskan imej pasukan serta Liga Malaysia secara keseluruhan.