Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal berharap dapat diberikan lebih banyak minit permainan selepas mempamerkan impak positif ketika membantu Malaysia menewaskan Laos.

Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata beliau masih dalam proses menyesuaikan diri dengan skuad kebangsaan selepas perjalanan jauh dan faktor jet lag, namun bersedia memainkan apa sahaja peranan yang diberikan.

“Itulah sebabnya saya terbang lebih 30 jam ke sini. Saya tahu ia tidak akan berlaku serta-merta kerana saya masih menyesuaikan diri.

“Sama ada diberi lima minit, 15 minit atau 90 minit, saya tetap gembira. Saya hanya mahu membantu pasukan,” katanya.

Wan Kuzain turut menyifatkan pertemuan menentang Thailand sebagai perlawanan yang dinantikannya kerana membabitkan dua pasukan yang memiliki sejarah persaingan panjang.

“Saya rasa ini perlawanan pertama di mana kedua-dua pasukan benar-benar setara. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada persaingan ini dan saya jangka ia akan menjadi perlawanan yang hebat,” katanya.

Mengulas mengenai sepakan percuma yang berjaya disempurnakannya, Wan Kuzain mendedahkan percubaan itu pada asalnya bertujuan menghasilkan hantaran lintang sebelum beliau menyedari kedudukan penjaga gol lawan sedikit terkeluar.

“Saya nampak penjaga gol sedikit salah posisi. Niat asal saya memang mahu melakukan hantaran lintang, tetapi saya fikir tiada salahnya mencuba. Syukur bola itu masuk,” katanya.

Beliau turut menganggap tekanan sebagai satu keistimewaan buat seseorang atlet, sambil menegaskan tekanan di pentas antarabangsa harus dijadikan motivasi untuk terus memberikan persembahan terbaik kepada negara.