KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak serius dengan kenyataan yang dikeluarkan berkaitan dua pemainnya yang dirasakan lebih sekadar bercuti di Chiang Mai apabila tidak diberikan masa permainan dan latihan yang sepatutnya.
Dua pemain KL City, Declan Lambert dan Zhafri Yahya telah dipanggil oleh Kim Pan Gon dalam skuad kebangsaan ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi kejohanan King’s Cup minggu lalu namun Declan hanya beraksi 10 minit manakala Zhafri langsung tidak beraksi.
Namun begitu, jurulatih dari Croatia itu tidak menyalahkan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang padanya banyak membantu mereka dengan menyusun semula jadual dan memastikan mereka menamatkan saingan liga pada tempoh yang sepatutnya.

Zhafri Yahya tidak mendapat minit permainan semasa Harimau Malaya berkunjung ke Chiang Mai.
“Ini adalah disebabkan seorang individu dan ini adalah antara jurulatih yang tidak menghormati saya jadi sudah tentu saya kecewa. Kami meminta pelepasan untuk mereka kerana kami sedang buat persediaan untuk perlawanan paling penting kelab ini, tetapi dia membawa dua pemain itu untuk bercuti.
“Bagi saya pemergian mereka ke sana adalah satu pembaziran masa apabila seorang hanya bermain 10 minit manakala seorang lagi langsung tidak bermain dan latihan yang dilakukan disana juga tidak cukup keras.
“Saya faham akan kepentingan mewakili skuad kebangsaan tetapi kelab kami dalam keadaan mahu mencipta sejarah muncul kelab kedua selepas JDT mara sejauh ini dalam Piala AFC jadi perkara seperti ini perlu diberikan perhatian,” kata Bojan dalam sidang media selepas KL City membelasah Sarawak United 5-0 dalam perlawanan Liga Super.

Declan Lambert
Bojan juga akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukannya untuk perlawanan akhir antara zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh.
Komen Bojan tentang kemenangan besar KL City ke atas Sarawak United adalah disebabkan mereka berjaya menyudahkan peluang yang ada berbanding ketika bertemu Pulau Pinang dimana semua percubaan yang dilakukan gagal menemui jaring.
Masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh mereka namun kemenangan ini akan memberikan keyakinan tambahan buat pasukan sebelum berangkat ke Uzbekistan.
Kuala Lumpur City bakal berhadpaan Sogdiana Jizzakh pada 5 Oktober dan akan berdepan cabaran cuaca yang dilaporkan lebih sejuk dan kering namun Bojan yakin dengan kemampuan pasukannya untuk layak ke final Piala AFC.