BEKAS pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh menegaskan tiga aspek penting perlu diberi perhatian dalam menilai prestasi pengadil tempatan musim lalu. Katanya, penglibatan dalamACL Elite, persepsi peminat, dan kebolehan membaca permainan perlu dijadikan penanda aras utama.
Menurut Subkhiddin, statistik aduan yang menurun dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 tidak cukup untuk menggambarkan tahap sebenar mutu pengadilan tempatan walaupun, hanya lima aduan direkodkan berbanding musim sebelumnya.
“Daripada segi statistik, ia satu perkembangan positif. Tetapi kita kena tanya juga, berapa ramai pengadil Malaysia yang terlibat di peringkat tertinggi seperti ACL Elite?” soal Subkhiddin Ketika dihubungi Flash Sukan.
Ketika ini, hanya Nazmi Nasaruddin yang bertugas di kejohanan kelab paling elit Asia itu. Subkhiddin melihat ini sebagai petunjuk jelas bahawa usaha melahirkan pengadil bertarafantarabangsa perlu terus dipergiatkan.
Beliau juga menekankan kepentingan persepsi peminat dalam era digital kini. Katanya, FAM perlu lebih telus dan terbuka dalam menangani isu membabitkan keputusan pengadil, terutamanya dalam perlawanan penting.
“Contohnya jika berlaku layangan kad merah yang tampak kontroversi dalam satu aksi final, FAM patut buat penjelasan rasmi megenai insiden tersebut. Jangan biarkan peminat terus berspekulasi,” ujarnya.
Mengulas aspek bacaan permainan, Subkhiddin menyifatkan masih ada pengadil yang gagal membaca aliran perlawanan dengan baik. Ini boleh menyebabkan keputusan lambat dan kurang tepat ketika mengadili perlawanan.
Akhir sekali, beliau menegur sikap segelintir pengadil yang terlalu bergantung kepada VAR. “VAR memang bantu, tapi pengadil mesti bijak buat keputusan sendiri. Kalau terlalu harapVAR, bererti mutu pengadil kita belum mencapai tahap yang kita harapkan ,” tegasnya.