DARIPADA kolam renang hingga ke gelanggang takraw, dua nama mencuri tumpuan di Anugerah SAM-100PLUS 2024 — perenang muda Muhammad Dhuha Zulfikry dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila masing-masing dinobatkan Atlet Muda Terbaik dan Persatuan Sukan Dinamik.
Dhuha, 18, tampil luar biasa sepanjang tahun lalu apabila memadamkan rekod kebangsaan 1500m gaya bebas lelaki milik legenda Jeffrey Ong yang bertahan 35 tahun, ketika beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik di Shanghai. Tidak cukup dengan itu, dia menggila di SUKMA Sarawak 2024 dengan membawa pulang enam emas dan memecahkan lima rekod kejohanan.
Manakala di pentas pentadbiran sukan, PSM mencatat kebangkitan luar biasa di bawah pimpinan Datuk Sumali Reduan. Daripada bergolak secara dalaman, mereka kini bergelar juara dunia regu dan beregu di Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 serta meraih penarafan empat bintang oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Pengerusi penganjur, Hazreen Mubarak menyifatkan kedua-dua penerima mencerminkan bukan sahaja kejayaan semasa, tetapi keberanian melakukan perubahan dan semangat membina masa depan yang lebih gemilang buat sukan negara. Majlis anugerah ini akan berlangsung 14 Julai di Hotel Sunway Resort dan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
TAMAT