PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan penjualan tiket Piala Dunia 2026 akan menggunakan kaedah harga dinamik, dengan tempat duduk peringkat kumpulan bermula pada ASD60 (RM253).

FIFA berkata fasa pertama jualan tiket akan bermula pada 10 September sehingga 19 September menerusi cabutan prajualan khas Visa, terbuka kepada pemegang kad Visa terpilih.

Harga tiket akan berbeza mengikut permintaan pasaran, dengan tiket untuk perlawanan akhir mencecah sehingga ASD6,730 (RM28,480)

Peminat yang berjaya menyertai cabutan prajualan akan diberikan slot masa untuk membeli tiket, tetapi tidak menjamin ketersediaan tiket.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dengan kejohanan dijadualkan bermula pada Jun hingga Julai tahun depan.

Ia bakal mencatat sejarah sebagai edisi terbesar dengan 104 perlawanan yang akan berlangsung di 16 bandar raya termasuk 11 di Amerika Syarikat, tiga di Mexico dan dua di Kanada. Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey.