PASUKAN Harimau Malaya memanfaatkan sokongan lebih 22,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila menewaskan seteru serantau, Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 malam ini.
Skuad bimbingan Peter Clamovski bermula garang dengan beberapa gerakan berbahaya seawal minit kelima apabila percubaan Arif Aiman ditepis penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud. Malaysia hampir menambah jaringan pada minit ke-18 menerusi gerakan cantik João Figueiredo yang melakukan cut back kepada Nazmi Faiz, namun rembatan pemain tengah itu melambung tinggi.

Sorakan gemuruh penyokong akhirnya meledak pada minit ke-26 apabila umpanan cantik Endrik dos Santos disempurnakan Stuart Wilkin yang merembat kencang untuk gol pembukaan skuad negara. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Malaysia terus menekan selepas rehat dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-54. Kali ini Wilkin menjadi pengumpan apabila hantaran lintangnya mudah ditolak masuk Figueiredo untuk menggandakan kelebihan tuan rumah.

Singapura bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-72. Penyerang gantian, Ilhan Fandi, hanya mengambil masa kurang lima minit di atas padang sebelum melepaskan rembatan jarak jauh yang menewaskan Haziq Nadzli.
Walaupun pelawat cuba mencari gol penyamaan dalam masa kecederaan empat minit, pertahanan negara kekal utuh untuk memastikan kemenangan 2-1 milik Harimau Malaya.
Selepas menewaskan Singapura, Malaysia kini bersedia menghadapi Palestin pada aksi seterusnya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September.