OLEH MOHD FARIQ

PRESTASI skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 Qatar baru-baru ini mendapat pujian terhormat daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata, menjadi satu kebanggaan melihat pasukan Malaysia tampil semula di pusingan akhir selepas layak secara merit sejak 42 tahun di Kuwait.

Malah, Malaysia kendalian Kim Pan-gon memenuhi gesaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meraih satu mata sebelum pulang ke tanah air.

“AFC melihat pasukan dari rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dah mula meningkat naik serta telah berkembang ke tahap ini.

“Sudah tentu, untuk membangunkan ke tahap ini tidak mudah. Ia memerlukan kerja kuat, kerja keras, perancangan yang betul dan salah satu elemen kejayaan yang paling kuat adalah berterima kasih kepada Johor Darul Ta’zim dan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“JDT berjaya mencipta platform, pelaksanaan, mentaliti inginkan kemenangan, pemikiran ideal dan perancangan visi seperti mana anda tahu untuk terus pergi ke langkah seterusnya.

“Inilah hasilnya apabila kelab mempunyai kemudahan yang sesuai, mempunyai pengurusan yang kukuh dalam semua segi,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Jumaat.

Windsor gembira Piala Asia 2023 pecah rekod ‘digital engagement’ lebih 1.5 bilion

Semasa kempen Kumpulan E di Doha, hampir separuh skuad Harimau Malaya dibarisi tonggak pemain dari kelab JDT yang memiliki kekuatan masing-masing di setiap posisi.

Bukan itu sahaja, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu daripada lima “pasukan yang menonjol” menjelang kelayakan Piala Dunia 2026.

Badan dunia itu meletakkan Malaysia bersama Comoros, Ecuador, Rwanda dan Venezuela sebagai ‘underdog” yang memberi impak awal.

Mengulas lanjut, Windsor yang juga barisan kejurulatihan pasukan Selangor era 1990-an berkata, kemudahan tempat latihan yang terdapat di Johor menjadi elemen penting buat bola sepak berkembang lebih jauh.

No photo description available.

“Ini antara elemen yang diperlukan untuk bola sepak Malaysia pergi lebih jauh mendaki bukannya menuruni puncak.

“Apa yang kita perlukan dalam bola sepak Malaysia ? Kita perlukan dalam Liga Malaysia sekurang-kurangnya tiga atau empat lagi kelab yang boleh mengikuti arah tuju JDT.

“Kalau tak segenap 100 peratus pun, setidak-tidaknya 60 ke 70 peratus dah cukup baik, yang boleh melahirkan pemain berkualiti yang layak untuk pasukan kebangsaan dan Liga Malaysia.

“Tiga dan empat pasukan itu akan hasilkan pemain hebat untuk di bawa ke skuad negara dan akan terus meningkatkan pasukan kebangsaan serta membawa kepada peringkat seterusnya. Perkara ini Malaysia dah kena ada,” katanya dilantik sebagai Setiausaha Agung AFC pada 2015.

JDT paling ramai wakil pemain di Qatar

Pun begitu, bekas pemain remaja Kedah pada 1973 sebelum menyarung jersi pasukan Petronas itu akui bukan semua kelab boleh mencapai tahap sama seperi JDT, tetapi mestilah ada beberapa pasukan setara mereka.

“Bayangkanlah, macam saya sebut tadi tiga atau empat kelab lagi seperti JDT, walaupun taklah sepenuhnya berapa banyak kualiti pemain boleh lahir dengan persediaan yang betul di kelab? Ia akan memberikan anda pemain yang baik dan pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan dan dan liga dan sudah tentu,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, penglibatan kelab Malaysia seperti JDT yang beraksi di peringkat lebih tinggi dalam Liga Juara-Juara membantu pengiraan ranking mata untuk pasukan kebangsaan.

Sistem mata atau peringkat memberikan elemen daya saing yang kuat di dalam liga tempatan. Kelab-kelab akan bersaing untuk mendapatkan mata dan menaikkan kedudukan mereka dalam peringkat. Ini boleh mendorong pasukan untuk berusaha lebih keras dan meningkatkan kualiti perlawanan.

Pada 25 Disember tahun lepas, JDT membawa khabar gembira buat peminat bola sepak tempatan apabila berpotensi beraksi dalam saingan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) 2025.

Ia selepas badan induk antarabangsa itu menyenaraikan skuad Harimau Selatan antara 12 kelab terbaik Asia untuk bersaing merebut slot ke saingan yang juga dikenali Mundial de Clubes FIFA, dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat pada 2025.

Realitinya, kata Windsor yang juga anak Malaysia, jauh sudut hati kecilnya ingin memandang pasukan kebangsaan terus maju kerana diyakini mampu boleh pergi lebih jauh.

Piala AFC 2023-24: Sabah FC kembali jalani latihan

“Harus diingatkan bahawa prestasi pemain Johor miliki sistem mata dari AFC dan tak boleh dinafikan pengiraan mata JDT membantu juga kelab lain dalam Liga Malaysia seperti Terengganu, Sabah dan Kedah pernah bermain di Piala AFC serta Selangor FC (Liga Juara-Juara 2) dan terkini (dua kelab) layak bermain dalam ASEAN Club Championship (ACC).

“Kejayaan JDT mungkin memberi inspirasi kepada kelab-kelab lain untuk mengejar prestasi serupa. Ini dapat mencetuskan saingan sihat di kalangan kelab tempatan dan memotivasikan mereka untuk bekerja keras mencapai kejayaan yang serupa.

“Oleh itu, kejayaan satu kelab dalam bola sepak tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab itu sendiri tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem bola sepak dalam negara tersebut,” katanya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mencalonkan Kedah dan Sabah kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk beraksi di ACC yang dijadualkan bermula tahun ini.

Cadangan itu telah dipanjang kepada FAM berdasarkan kedudukan tempat ketiga dan keempat diduduki Kedah serta Sabah dalam saingan Liga Super musim lalu.