Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky menyifatkan Kejohanan Badminton Asia (BAC) sebagai kejohanan setaraf Kejohanan Dunia serta medan terbaik untuk menilai kekuatan lawan menjelang kempen Piala Thomas dan Piala Uber.

Menurutnya, kejohanan yang berlangsung di Ningbo, China itu menghimpunkan hampir 90 peratus pemain terbaik dunia, sekali gus menjadikannya platform paling ideal untuk membina momentum sebelum kejohanan berpasukan di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

“Ini peluang terbaik untuk pemain membina momentum sebelum Piala Thomas dan pada masa sama jurulatih boleh melihat tahap lawan yang bakal dihadapi,” katanya.

Dalam saingan kali ini, harapan Malaysia dijangka banyak bergantung kepada pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun selaku juara bertahan.

Gandingan tersebut mencipta sejarah sebagai beregu Malaysia pertama menjuarai BAC sejak era Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2006 dan 2007, namun dijangka berdepan cabaran lebih sengit pada edisi kali ini.

Turut membawa cabaran negara adalah pasangan nombor enam dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Wan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Dalam acara perseorangan lelaki, tumpuan terarah kepada Leong Jun Hao yang bakal berdepan tugas sukar menentang pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Seorang lagi wakil negara, Justin Hoh pula dijangka memulakan kempen dengan undian lebih baik apabila berdepan pemain dari pusingan kelayakan.

Kejohanan BAC kali ini dilihat sebagai pentas penting buat pemain negara mengukur tahap sebenar prestasi selain memperkemaskan persiapan menjelang cabaran lebih besar di pentas berpasukan dunia.

Sumber Gambar: BERNAMA