Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kini berada pada tahap kecergasan terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang sebelum ini menjejaskan prestasinya.

Perkembangan positif itu disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill yang yakin pelumba tersebut mampu kembali memberi saingan sengit pada saingan Piala Dunia di Velodrom Nilai dari 24 hingga 26 April ini.

Menurut Amarjit, proses pemulihan Shah Firdaus berjalan lancar sejak menjalani pembedahan lutut pada September tahun lalu dengan pemantauan rapi oleh Institut Sukan Negara (ISN).

“Proses pemulihan Shah Firdaus berlangsung dengan sangat baik dan dia akan bersedia untuk Piala Dunia. Pihak ISN juga cukup gembira dengan perkembangannya.

“Saya rasa dia sudah mendapat rehat secukupnya dan kini bersedia untuk kembali beraksi pada tahap kompetitif,” katanya.

Pada kejohanan di Nilai nanti, skuad negara akan diketuai oleh jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang bersama Shah Firdaus serta barisan pelumba lain seperti Ridwan Sahrom, Lau New Joe, Nurul Izzah Mohd Asri, Anis Amira Rosdi, Nur Alyssa Mohd Farid dan Nur Aisyah Zubir.

Piala Dunia Trek 2026 di Nilai bakal menjadi penutup tirai siri kejohanan musim ini selepas dua pusingan terdahulu berlangsung di Perth, Australia dan Hong Kong.

Dalam masa sama, Amarjit menyeru peminat sukan tanah air untuk hadir memberi sokongan kepada pelumba negara, khususnya bagi menyaksikan kemungkinan penampilan terakhir Azizulhasni di pentas antarabangsa di laman sendiri.

“Ini mungkin peluang terakhir untuk kita melihat Datuk Azizulhasni beraksi di kejohanan antarabangsa tertinggi di Malaysia.

“Beliau sudah memenangi emas di Perth dan kini memberi tumpuan penuh kepada aksi di Nilai. Keputusan tidak menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia adalah bagi memastikan fokus sepenuhnya kepada Piala Dunia serta persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Beliau turut berharap kehadiran penyokong dapat menyuntik semangat kepada atlet negara dalam usaha mencipta keputusan cemerlang di hadapan penyokong sendiri.