BEREGU wanita No.2 dunia, Pearly Tan-M Thinaah perlu lebih waspada kerana kelompok lapan beregu terbaik dunia semakin sukar dijinakkan dan mampu menumbangkan sesiapa pada bila-bila masa.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, menjelaskan semua pasangan dalam kelompok Top 8 dunia kini berada pada tahap seimbang dan mampu mencipta kejutan tanpa mengira siapa pilihan utama.
Menurutnya, mana-mana beregu yang tampil lebih tajam pada hari pertandingan akan membawa pulang kemenangan, menjadikan setiap perlawanan seperti final sebenar buat Pearly-Thinaah.

Rosman Razak juga perlu berkerja keras meningkatkan lagi prestasi dan konsistensi Pearly Tan-M Thinaah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Pearly-Thinaah tidak boleh lari daripada jangkaan tinggi yang diletakkan terhadap mereka setiap kali turun ke gelanggang.
“Untuk Pearly dan Thinaah, mereka tidak boleh ‘lari’ daripada mencatat keputusan terbaik dalam setiap kejohanan. Apabila mereka pergi kejohanan, setiap orang sentiasa meletakkan sasaran tinggi.
“Memang inilah yang kami perlu terima sekarang. Sekiranya kami tidak dapat menerima sasaran tinggi seperti itu, bermakna kami seperti tidak mahu untuk berada di tahap tersebut,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini (Selasa).
Ahad lalu, Pearly-Thinaah sekali lagi membuktikan kekuatan mental dan disiplin taktikal tinggi apabila merangkul gelaran di Jepun selepas menundukkan wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19.
Musim 2025 menjadi saksi kebangkitan luar biasa gandingan negara itu dengan tujuh final serta tiga gelaran kejuaraan termasuk Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan Kumamoto Masters selain status naib juara dunia.