CADANGAN menyatukan pemain kebangsaan dan profesional di bawah payung Road to Gold (RTG) disambut penuh semangat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan menyifatkan usaha itu bukan perkara baharu dalam sejarah sukan badminton negara.
Beliau mengingatkan bahawa ketika pandemik Covid-19 melanda, pemain kebangsaan dan profesional pernah digabungkan dalam sesi latihan intensif demi kelangsungan prestasi negara.
Pemain RTG bernaung di bawah BAM membabitkan dua beregu lelaki sensasi, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Sementara itu, kekuatan RTG pemain profesional tidak kurang hebatnya dengan kehadiran beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta gandingan campuran berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Kenny menjelaskan perbincangan menyeluruh akan diadakan bersama Pengarah Beregu BAM, Rexy Mainaky dan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam bagi merangka bentuk latihan terbaik.
Beliau percaya cadangan Hannah itu membawa misi besar untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa badminton dunia semula dan bersedia menggembleng semua sumber demi emas Olimpik.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan inisiatif latihan bersama itu sedang diperkasakan bersama Sekretariat RTG dan BAM demi memastikan semua pemain berada pada tahap maksimum secara berkala.