TRIO pecut wanita sememangnya ada kemampuan melakar kejutan, meskipun tidak diletakkan sebarang harapan ke atas mereka untuk emraih pingat dalam acara pecut  berpasukan, basikal trek Sukan Asia ke-19.

Ketua jurulatih John Beasley berkata, kini Nurul Aliana Syafika Azizan-Nurul Izzah Izzati Mohd Rosli dan Anis Amira Rosidi telah membuktikannya apabila menyumbang gangsa, yang bersejarah.

Mereka muncul pelumba trek wanita pertama negara dalam acara pecur berpasukan meraih pingat di Sukan Asia.

Lebih manis trio yang dibarisi Nurul Aliana Syafika Azizan sebagai pelumba pertama diikuti Nurul Izzah Izzati dan Anis Amira mempamerkan kayuhan bertenaga untuk rekod baru kebangsaan dengan  catatan masa 49.025 saat (s) memadamkan rekod lama 50.388s yang dilakukan mereka pada Februari lalu, di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Indonesia.

Dalam perlumbaan yang betlangsung di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou itu, trio negara menewaskan barisan pelumba Taiwan.

Bagi Nurul Izzah, kejayaan ini adalah hasil usaha keras mereka selepas dua kali berdepan kekecewaan.

“Kami memang berusaha keras selama ini. Kejayaan hari ini amat menggembirakan selepas kecewa di ACC (Kejohanan Berbasikal Asia) di India, apabila mendapat nombor empat, di ACC Nilai juga kami dapat nombor empat.

“Kali ini kami berjaya melakukannya dan meraih gangsa untuk negara,” katanya.

Sementara itu bagi Anis, pelumba paling berpangalaman dalam trio negara berkata, kejayaan utama mereka adalah mencapai misi yang diletakkan kepada mereka iaitu memecahkan rekod kebangsaan di Hangzhou kali ini.

Biarpun dibantu oleh dua pelumba muda namun, Anis percaya dengan kemampuan kedua-dua rakannya itu.

“Dari awal datang sini memang fokus kami hanya untuk pecahkan rekod kebangsaan. Kami tak fikir untuk menang pingat.

“Bila kami berjaya mara ke penentuan oingat gangsa itu, kami hanya fokus kepada kayuhan kerana masing-masing tahu tugas mereka,” katanya.

Esok saingan berbasikal trek akan diteruskan lagi dengan Anis dan Izzah akan beraksi dalam acara keirin manakala Myhamad Firdaus Sharon akan turun dalam peringkat saringan pecut individu.