TENAGA Nasional Berhad (TNB) terus menjadi tulang belakang kepada perkembangan hoki negara sejak puluhan tahun lalu, dengan penglibatan yang bermula melalui Kelab Kilat TNB sebelum berkembang menjadi kuasa besar korporat dalam arena hoki tanah air.

Bermula sebagai pasukan yang aktif dalam saingan tempatan sejak era 70-an, TNB kemudiannya melangkah lebih jauh dengan menjadi penaja utama Liga Hoki Malaysia (MHL) pada tahun 2006. Langkah itu bukan sahaja meningkatkan taraf liga tempatan, malah memberi jaminan terhadap kelangsungan ekosistem hoki negara.

Sumber: Malaysia Hockey Confederation (MHC)

Komitmen besar TNB turut diterjemahkan menerusi penyaluran lebih RM20 juta sejak 2015 bagi tujuan penajaan pelbagai kejohanan, termasuk sokongan bernilai RM1 juta untuk Piala Dunia Remaja 2023. Usaha itu menjadikan TNB antara penyumbang korporat paling konsisten dalam arena sukan tanah air.

Namun, sumbangan paling berharga TNB adalah menerusi program Thunderbolts yang terbukti menjadi platform pembangunan akar umbi paling berjaya. Program itu melibatkan kerjasama dengan sekolah-sekolah di seluruh negara bagi mencungkil bakat muda, selain menyediakan kemudahan latihan dan pendedahan pertandingan.

Sumber: Malaysia Hockey Confederation (MHC)

Sementara itu, Ketua jurulatih remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pembangunan sukan hoki TNB bermula sejak tahun 2007 menerusi Program Thunderbolts.

Katanya, program tersebut mencungkil bakat pemain hoki sejak di bangku sekolah dan sejak penubuhannya juga sebanyak lima sekolah telah dijadikan anak angkat bagi program itu.

Selain itu, sejak 2019, lebih 120 sekolah menerima peralatan hoki melalui inisiatif TNB, sekali gus memastikan bakat baharu tidak terpinggir hanya kerana kekurangan kemudahan asas. Ia menunjukkan komitmen menyeluruh syarikat itu terhadap kelangsungan hoki di semua peringkat.

Sumber: HOKITA

Dalam arena kompetitif, pasukan hoki TNB sendiri turut mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 21 tahun untuk menjuarai Liga Hoki Malaysia pada 2024. Kejayaan itu menjadi simbol bahawa pelaburan mereka bukan sahaja melahirkan bakat, malah mampu diterjemahkan kepada prestasi di pentas liga.

Kisah TNB bersama hoki Malaysia kini dikenang sebagai satu perjalanan panjang yang penuh dedikasi dan konsistensi. Lebih daripada sekadar penaja, TNB terbukti menjadi rakan strategik yang meletakkan hoki sebagai sebahagian daripada identiti sukan negara.