EINTRACH Frankfurt menewaskan Rangers 5-4 dalam penentuan penalti di Sevilla selepas terikat 1-1 dalam masa tambahan untuk muncul juara Liga Europa UEFA dan juga trofi Eropah pertama sejak 42 tahun.
Penjaga Gol Eintracht Frankfurt, Kevin Trapp menyelamatkan sepakan Aaron Ramsey yang juga sepakan keempat Rangers dengan rakan sepasukan yang lain berjaya menyempurnakan penalti masing-masing.
Joe Aribo berjaya meletakkan Rangers di hadapan pada minit ke-57 selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan Frankfurt dan mudah menolak bola melepasi Trapp.
Tersentak dengan gol itu, wakil Jerman itu bangkit dan Rafael Borre berjaya mencelah di antara dua pertahanan Rangers untuk menguis masuk hantaran lintang Filip Kostic pada minit ke-70 untuk gol penyamaan Frankfurt.
Jurulatih Eintracht Frankfurt, Oliver Glasner berkata kejayaan ini berpunca daripada mentaliti pasukannya yang positif dan beliau memuji persembahan para pemain dalam perlawanan akhir ini dan juga pada keseluruhan pertandingan.
“Kami kekal positif dan hanya dengan semangat ini sahaja yang membantu kami mencapai kejuaraan ini,” kata Glasner yang baru semusim menjadi jurulatih kelab Jerman ini.
“Kami bermain 13 perlawanan di peringkat Eropah dan kami langsung tidak tewas. Kami ambil selangkah demi selangkah dan akhirnya kami mendapat ganjarannya. Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan perasaan saya terhadap para pemain.
“Ianya adalah perlawanan terakhir musim ini. Ianya sangat sukar dan setiap pemain memberikan segala-galanya dan saya memuji persembahan mereka,” jelas Glasner selepas tamat perlawanan.
Dengan kejayaan ini, Eintracht Frankfurt akan kembali bertanding dalam Liga Juara-Juara UEFA musim hadapan sejak kali terakhir melakukannya pada 1960 iaitu 62 tahun yang lalu.
Mereka berjaya layak ke final ketika itu sebelum tewas kepada Real Madrid dalam kemunculan sulung mereka di pentas tertinggi kelab Eropah.
Bagaimanapun kejayaan Frankfurt ini dicemari oleh keganasan penyokong yang berlaku di luar kawasan stadium sebelum perlawanan. Kedua-dua penyokong membaling meja dan kerusi mengakibatkan lima penyokong Jerman ditangkap akibat melakukan konfrontasi.
Lebih 150,000 penyokong telah hadir ke bandar selatan Sepanyol itu dengan kebanyakan mereka tidak mempunyai tiket untuk masuk ke Stadium Ramon Sanchez Pizjuan yang mempunyai kapasiti 43,000 tempat duduk.