KAPTEN Buriram United, Theerathon Bunmathan, telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya terhadap pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE), 3 Disember lepas.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik, Theerathon meluahkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindakannya yang tidak dapat mengawal emosi ketika insiden tersebut berlaku.
“Saya ingin memohon maaf atas kesalahan saya. Saya sangat menyesal dan kecewa dengan tindakan saya yang tidak sepatutnya berlaku. Saya memohon maaf kepada presiden kelab Buriram United, jurulatih, rakan sepasukan, termasuk penyokong Buriram dan juga peminat yang menyayangi saya,” katanya.
Theerathon turut mengakui bahawa tindakannya tidak mencerminkan sikap seorang pemain yang seharusnya menjadi teladan kepada generasi muda.
“Saya rasa sangat bersalah atas tindakan ini. Ia adalah sesuatu yang tidak layak dilakukan oleh seseorang yang menjadi contoh kepada golongan muda. Saya harap adik-adik yang menjadikan saya sebagai idola dapat mengambil pengajaran daripada kesilapan saya dan hanya menggunakan perkara yang baik dari diri saya,” katanya kesal.
Selepas insiden tersebut diteliti melalui VAR, pengadil dari Arab Saudi, Khalid Salleh Alturais, tanpa ragu-ragu melayangkan kad merah kepada Theerathon.
Kapten berusia 33 tahun itu berjanji untuk memperbaiki sikap dan mengawal emosinya dengan lebih baik pada masa akan datang, bagi menjadi teladan yang baik kepada golongan muda.
“Saya ingin memperbaiki dan mengawal emosi serta kesedaran saya agar menjadi contoh yang baik untuk generasi muda. Terima kasih kepada semua yang memberikan nasihat dan teguran.
“Saya amat memahami kemarahan serta kekecewaan semua pihak, kerana saya sendiri juga marah dan sangat kecewa dengan diri saya.”
Theerathon turut menghargai segala sokongan yang diterima dan sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut.
“Terima kasih atas semua dorongan yang anda berikan. Saya benar-benar memohon maaf dari lubuk hati saya,” ujarnya.