PENGENDALI Vietnam, Philippe Troussier yang dahulunya pernah berkhidmat buat pasukan Jepun bakal bertemu semula di dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Asia antara Vietnam dan Jepun di Stadium Al Thumama, Qatar pada 14 Disember 2024.
Jepun yang telah meraih gelaran juara Piala Asia buat kali keempat itu akan berhadapan dengan ketua jurulatih pasukan lawan yang pernah memainkan watak penting dalam kebangkitan skuad Jepun di Piala Asia tahun 2000.
Meskipun Jepun telah memenangi Piala Asia pada tahun 1992 iaitu sebelum Troussier mengambil alih, jelas bahawa beliau berjaya membawa pasukan Asia Timur ke peringkat lebih tinggi dengan menggabungkan bakat-bakat hebat seperti Hiroshi Nanami, Naohiro Takahara, Shunsuke Nakamura dan Shinji Ono untuk meraih gelaran juara Piala Asia 2000.
Troussier terus memberikan impak apabila Jepun menjadi naib juara di Piala Konfederasi FIFA 2001 dan memacu Jepun untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA pada 2002.
Sayangnya 22 tahun kemudian, arkitek kejayaan Jepun itu telah berhijrah ke skuad Vietnam selepas mempunyai pengalaman luas dalam melatih pasukan di Asia, Afrika mahupun Eropah.
Pasukan ‘Golden Star Warriors’ kini telah melalui beberapa kemenangan juga kekalahan sejak Troussier menggalas tanggungjawabnya sebagai ketua jurulatih.
Perlawanan pembukaan antara Vietnam dan Jepun pada Ahad esok akan mengembalikan sejarah pertemuan kembali setelah kali akhir bertemu di peringkat suku Akhir Piala Asia 2019.
Dengan matlamat kemenangan buat kedua-dua pasukan itu, mungkin pertemuan ini akan menjadi penuh nostalgia ketika Troussier membawa Vietnam menentang bekas pasukannya yang membantu mengembangkan lagi karier sebagai pengurus bola sepak.