PENGENDALI Kelantan United FC, Tomas Trucha masih belum panik meskipun tewas buat kali ketiga dalam aksi Liga Super, kali ini kepada Kedah Darul Aman FC di laman sendiri.
Walaupun tewas, Trucha tetap gembira dengan corak permainan dan persefahaman yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan menganggap kelab ini berada di landasan yang betul, hanya masa yang bakal menentukan.
“Saya rasa ia adalah perlawanan yang menarik dengan pelbagai aksi di hadapan gol. Para pemain menunjukkan karektor yang baik dan kami sekali lagi hampir mengikat pasukan yang kuat. Ini adalah bukti yang kami mampu bersaing dan semakin meningkat.
“Hanya masa yang kami perlukan untuk menjadi lebih matang dan para pemain juga dilihat sudah mula memahami satu sama lain. Ini menyebabkan saya tidak panik dan merasakan kelab ini mampu mencapai keputusan yang baik selepas beberapa perlawanan,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu penolong jurulatih Kedah, Victor Andrag yang menggantikan Nafuzi Zain kerana digantung selepas dilayangkan kad merah pada aksi terdahulu, memberikan kredit kepada para pemain yang mempamerkan aksi baik untuk bangkit memburu kemenangan selepas ketinggalan.
“Sebenarnya kredit perlu diberikan kepada pemain. Ini selepas moral mereka sendikit terganggu selepas keputusan dua perlawanan yang tidak menyebelahi kami. Kami hanya mahukan para pemain fokus dan tidak memikirkan tentang kekecewaan.

Victor Andrag
“Namun begitu masih ada beberapa kelemahan yang dapat dikesan tetapi kami mampu bangkit dan bertahan dengan baik serta tahniah kepada skuad Kelantan United kerana memberi saingan yang sengit kepada kami,” katanya.
Selepas ini, Kelantan United bakal berhadapan PDRM FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Sabtu manakala Kedah pula akan melayan kunjungan satu lagi pasukan yang dibawa naik ke Liga Super, Kuching City FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat.