PENYERANG import Kelantan FC, Ismaheel Akinade merasakan aura positif beraksi di Liga Super Malaysia kerana berasa selesa beraksi dan menetap sebagai seorang pemain Muslim professional di negara ini.

Dia juga teruja kerana dikelilingi masyarakat beragama Islam terutama di Kelantan dan dia sangat gembira kerana dapat mendengar Azan dikumandangkan serta tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri buat pertama kali di sini.

Penyerang yang dibawa masuk dari kelab Bangladesh itu juga mahu kemelut yang melanda pasukan Kelantan ketika ini dapatkan diselesaikan dengan segera menjelang jendela perpindahan kedua Julai nanti.

“Ianya sangat baik untuk saya kerana Malaysia adalah negara Islam dan Kelantan pula adalah negeri yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam dan ini membuatkan saya selesa menetap di sini.

“Selain itu ianya juga baik kerana melihat ramai masyarakat di sekeliling saya yang berpuasa, menunaikan solat berjemaah dan mendengar Azan. Ianya sangat positif dan saya tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri di Malaysia,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Dia juga berharap Aidilfitri kali ini dapat membawa sinar baharu buat Kelantan FC yang sedikit bergelut dengan kemelut yang melanda kelab dan dia tetap mahu berikan yang terbaik apabila beraksi.

“Kecederaan dan pemain kurang berpengalaman adalah punca pasukan ini bergelut sekarang. Kami perlu bertahan sehingga jendela perpindahan kedua untuk membawa lebih banyak pemain muda yang berpengalaman,” tambahnya.

Sejak menyertai The Red Warriors, Ismaheel kini sudah melakukan enam penampilan dan berjaya menjaringkan tiga gol dari jumlah 10 gol jaringan Kelantan dalam Liga Super musim ini dan mula mendapat perhatian penyokong di Kota Bharu.