PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac memberikan kredit kepada para pemainnya apabila berjaya memberikan cabaran kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun tewas 1-2 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, para pemain KL City mempamerkan disipilin bertahan yang luar biasa namun terpaksa akur dengan kualiti yang ada pada pemain-pemain JDT yang mampu mengubah keputusan perlawanan.
Brendan Gan menjaringkan gol semangat buat The City Boys yang akan menjadi bekalan penting buat mereka apabila bertandang ke Iskandar Puteri untuk aksi suku akhir kedua minggu hadapan.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/Screenshot_20241214_011841_Facebook-755x1000.jpg)
Kuljanac gembira pemainnya dapat bertahan dengan baik berhadapan JDT
“Ianya satu keputusan yang baik kerana kami bermain sangat baik dengan taktikal bertahan yang berdisipin dan saya gembira dengan satu jaringan itu kerana kini kami masih berpeluang dalam kejohanan ini.
“Gol itu sangat penting untuk meningkatkan moral pemain kerana kami bersaing tanpa ramai pemain utama ditambah beberapa kecederaan berlaku dalam perlawanan. Tahniah buat para pemain kerana berikan segalanya ketika menentang pasukan yang lebih baik dan lengkap berbanding kami.
“Perlawanan ini juga berikan pengalaman buat pemain muda bagaimana bola sepak moden dimainkan dalam perlawanan yang besar menentang lawan yang bagus kerana kita sedar jurang antara kami dan JDT sangat besar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/Screenshot_20241213_225142_Telegram-854x1000.jpg)
J.Parthiban cuba melepasi kawalan Park Jun-heong
Jurulatih asal Croatia itu juga bimbang dengan masalah kecederan yang melanda pasukannya ditambah kehilangan tiga pemain yang mewakili Malaysia dan Filipina di Piala Asean Mitsubishi Electric dan akan mencaturkan sesuatu untuk mengharungi perlawanan suku akhir kedua di laman lawan.
“Kami dibelenggu masalah kecederaan pemain serta kehilangan tiga pemain yang mewakili negara tetapi kami akan teruskan bersaing dengan skuad yang kecil dan berharap ada pemain yang sempat pulih untuk perlawanan kedua,” jelasnya.