GANJARAN sebagai pembakar semangat namun hanya boleh dikecapi jika semua pemain memberi komitmen tinggi untuk membawa pulang trofi Piala Thomas 2024.
Demikian menurut kapten skuad Piala Thomas negara, Soh Wooi Yik ketika mengulas mengenai ganjaran lumayan yang dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika memenangi Piala Thomas di Chengdu, China, 27 April hingga 5 Mei depan.
Begitupun, pemain beregu lelaki nombor satu negara itu mengakui tidak mudah untuk ganjaran itu jatuh ke riba setiap pemain negara.

Sekitar Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas dan Uber negara yang akan menggalas cabaran di Chengdu, China, 27 April – 5 Mei.
“Sudah tentu ia membakar semangat dan memberi motivasi kepada kami. Saya sudah menyaksikan Piala Thomas sejak kecil lagi, ini adalah kejohanan berpasukan, bukannya individu.
“Kita tidak berjuang untuk diri sendiri bagi mendapat ganjaran. Kami mesti ada semangat sepasukan yang tinggi dan saling membantu antara satu sama lain. Ia tidak sama seperti kejohanan individu yang kami sering sertai. Untuk mendapatkan ganjaran, kami perlu muncul juara,” kata Wooi Yik, yang enggan terlalu memikirkan soal ganjaran, kerana mahu fokus kepada persaingan dalam kempen Piala Thomas.
Menurutnya, kejohanan belum bermula malah perjalanan mereka dalam kempen Piala Thomas “Lagipun, perjalanan kami masih jauh lagi,” kata Wooi Yik ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas/Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, pada Isnin.

Soh Wooi Yik menggalas cabaran sebagai kapten skuad Piala Thomas 2024.
Majlis berkenaan disempurnakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Terdahulu, Norza mengesahkan badan induk itu menyediakan ganjaran wang tunai kepada skuad Piala Thomas sekiranya berjaya muncul juara kejohanan itu yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.
Bagaimanapun, Norza tidak mendedahkan jumlah ganjaran berkenaan tetapi memaklumkan yang pemain mengetahui mengenainya.
Difahamkan, BAM menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara berjaya muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Wooi Yik yang kali pertama mengetuai pasukan di Piala Thomas berjanji akan cuba melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

BAM dilapor menjanjikan imbuhan lumayan sekiranya pemain berjaya memenangi Piala Thomas 2024.
Katanya, dia juga akan mendapatkan bantuan daripada pasangannya, Aaron Chia dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia bagi membantu memastikan pasukan sentiasa berada dalam mood terbaik.
“Kami bertiga sudah banyak kali bertanding di kejohanan besar dan kami boleh berkongsi pengalaman yang ada kepada rakan sepasukan terutama pemain muda.
“Apa yang paling penting kita saling bantu membantu antara satu sama lain apabila kita ada masalah,” katanya.
Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.
Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.