HARAPAN untuk melihat Ng Tze Yong kembali ke gelanggang dalam masa terdekat terpaksa ditangguhkan apabila perseorangan lelaki negara itu kini menjalani proses pemulihan selama empat minggu di Doha, Qatar selepas selamat menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL).

Pembedahan tersebut dilakukan oleh pakar bedah sukan terkemuka dunia, Dr. Pieter D’Hooghe di Aspetar Orthopaedic and Sports Medicine Hospital, Doha, sekali gus menjadi fasa permulaan pemulihan jangka panjang buat pemain berusia 25 tahun, yang sebelum ini mengalami kecederaan semasa Malaysia Masters, Mei lalu.

Ng Tze Yong selamat jalani pembedahan di  Aspetar Orthopaedic and Sports Medicine Hospital, Doha |FOTO Instagram Ng Tze Yong

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini Tze Yong, memaklumkan bahawa pembedahan berjalan lancar dan kini fokus tertumpu kepada program pemulihan yang akan dijalankan di Doha.

“Setakat ini, kami dimaklumkan semuanya dalam keadaan baik. Pembedahan pun selamat dijalankan. Sekarang yang paling penting adalah program pemulihan. Diharap Tze Yong dapat mengikuti proses rehabilitasi itu dengan tekun,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh harap proses pemulihan Ng Tze Yong berjalan lancar.

Menurut Kenny, tempoh rehat awal dijangka mengambil masa sekitar empat minggu di Doha sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada Tze Yong akan dibawa pulang untuk menyambung rawatan lanjut di Malaysia atau terus kekal di sana bergantung kepada tahap pemulihan.

Kecederaan ACL yang dialami itu bukan saja menjejaskan peluang Tze Yong untuk kembali dalam masa terdekat, malah menyaksikan dia hampir pasti terlepas saingan awal musim 2025, termasuk kejohanan utama di peringkat serantau dan dunia.