SKUAD lelaki negara harus melupakan status sebagai juara bertahan dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, ketika menghadapi Taiwan pada aksi terakhir peringkat kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), esok.

Jika mengharapkan undian lebih mudah untuk saingan kalah mati, pemain negara harus mengakhiri saingan kumpulan dengan mencatat kemenangan ketika berdepan pasukan ranking kesembilan dunia itu.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, menganggap kedua-dua pasukan tidak akan memandang rendah aksi terakhir peringkat kumpulan itu.

“Sebenarnya semua orang terutama pemain memberi tumpuan kepada aksi terakhir ini, begitu juga dengan Taiwan. Dari sudut pasukan, ia sama seperti kita (ternanti-nanti aksi terakhir peringkat kumpulan),” kata bekas pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Atlanta 1996 dari Indonesia itu.

Bagi beliau, aksi menentang Taiwan, pemain bukan hanya perlu sedia dari segi teknik, malah kekuatan mental.

“Bagi aksi ini kami bukan sahaja perlu siap dari aspek teknik, tetapi terarah bagaimana kami menguruskan diri mental pemain bagi sentiasa dahagakan kemenangan di dalam gelanggang.

“Jadi kami akan duduk bersama dan sentiasa meningkat motivasi pemain menjelang perlawanan berkenaan,” kata Rexy.

Lee Zii Jia pasti diturunkan pada perlawanan terakhir kumpulan B, menentang Taiwan.

Apakah Ng Tze Yong akan diturunkan menentang Taiwan esok?

Rexy turut berkongsi situasi Ng Tze Yong yang sentiasa berada di bawah pemantauan jurulatih, terutamanya dari segi tahap kecergasan pemain itu yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan belakang.

“Buat masa sekarang kita sudah melihat dia beraksi menentang Brunei (semalam), jadi kita akan duduk berbincang lagi dalam masa sama mempersiapkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe. Jika kita terlalu menekannya bimbang mendatangkan risiko pada kecederaannya.