PENGALAMAN beraksi di Jelajah Dunia Akhir (WTF) tahun lalu, tidak boleh dijadikan sebagai sandaran untuk menggapai impian besar di Sukan Olimpik ke-33 di Paris.

Bagi Toh Ee Wei, yang akan beraksi kali pertama di pentas tertinggi sukan dunia itu bersama Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran, hanya persiapan terbaik mampu mengubah nasib mereka yang kebelakangan ini dilihat merosot, untuk mengejutkan pencabar di Temasya Paris yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Toh Ee Wei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie sudah melakar banyak kejayaan dalam tempoh singkat sejak mereka digandingkan.

Mereka yang digandingkan pada Disember 2022 itu berjaya melayakkan diri ke WTF dalam tempoh kira-kira setahun digandingkan, melonjak ke kelompok Top 10 dunia hingga berjaya ke Sukan Olimpik Paris, membuktikan bahawa mereka mempunyai kekuatan yang berjaya mematahkan setiap kekuatan lawan.

“Buat masa sekarang, kami tidak pernah sesekali memikirkan mengenai bagaimana saingan di Olimpik, kami tidak mahu membayangkannya kerana mahu fokus kepada persiapan.

“Persiapan latihan setakat ini kami lakukan yang terbaik termasuklah latihan mental yang dibuat di sini (Akademi Badminton Malaysia),” kata Ee Wei.

Menurutnya, dia menolak WTF yang menggunakan format sama seperti Sukan Olimpik, iaitu pemain akan dibahagikan dalam dua kumpulan berbeza, berikutan taraf kejohanan di Olimpik, jauh lebih tinggi.

Toh Ee Wei, seorang pemain yang sentiasa bersemangat di gelanggang.

“Sukan Olimpik hanya berlangsung empat tahun sekali, jadi semua pesaing mahukan pingat emas dan ia melibatkan semangat berjuang yang berlainan.

“Paling penting, selain latihan kekuatan mental yang kami terima, kami juga membuat kerja rumah, berbincang sendiri dan mahu melakukan perkara berbeza.

“Selain menonton video perlawanan lawan, kami juga melakukan perkara lain untuk mengejutkan mereka,” katanya.

Undian bagi badminton di Sukan Olimpik hanya akan dibuat pada 12 Julai ini.

Pada temasya itu nanti, badminton akan beraksi sehari selepas pembukaan iaitu pada 27 Julai hingga 5 Ogos.

Beregu campuran membuka tirai jaringan pada pagi 27 Julai, dan bakal menjadi acara pertama di Porte de la Chapelle Arena menawarkan pingat emas pada 2 Ogos, diikuti beregu wanita (3 Ogos), beregu lelaki (4 Ogos) dan perseorangan lelaki serta wanita pada 5 Ogos).