PERSEORANGAN lelaki utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong, kini dalam proses pembentukan fizikal dan kekuatan.
Pengarah Kejurulatihan Bahagian Perseorangan Lelaki BAM, Wong Choong Hann berkata, persediaan fizikal itu adalah sebahagian daripada program mempersiapkan pemain muda negara sebelum perlumbaan memungut mata ke Olimpik Paris bermula.
“Sekarang kita sedang latih dia untuk membentuk kondisi fizikal lebih mantap dan membina kekuatan. Selepas itu baharu kembali ke gelanggang untuk fokus kepada elemen gelanggang pula.
“Sewaktu menjalani latihan membina fizikal dan kekuatan ini, agak memenatkan, jadi latihan gelanggang buat Tze Yong agak ringan ketika ini,” kata Choong Hann, ketika ditemui.
RESULTS: #SUKMA2022
FINAL
Ng Tze Yong(1) def. Leong Jun Hao(2) 18-21 21-19 21-12
*Congrats Tze Yong!#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/dh497nxoUG
— BAM (@BA_Malaysia) September 24, 2022
Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan Tze Yong masih sama malah pemain terbabit lebih nampak hala tujunya dan lebih keinginan untuk memenangi setiap perlawanan.
Katanya, pemain kelahiran Johor itu menjadi tonggak utama BAM untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris dalam acara perseorangan lelaki.
“Untuk baki tahun ini, Tze Yong akan menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan lagi iaitu Indonesia Master (18-23 Oktober), Hylo Terbuka Jerman (1-6 November) dan Terbuka Australia (15-20 November),” kata Choong Hann lagi.
Persiapan itu juga bertujuan melengkapkan Tze Yong dalam misi meraih mata ke Olimpik Paris, apabila mata kelayakan akan bermula 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.
Tambahnya, penyertaan Tze Yong ke tiga kejohanan terbabit bukan untuk mendapatkan mata bagi melayakkan diri ke Saingan Akhir Jelajah Dunia, berikutan pemain terbabit tidak mungkin dapat meloloskan diri masuk ke kelompok lapan perseorangan terbaik dunia, dalam kalendar jelajah.
Tze Yong kini mensasarkan untuk menamatkan cabaran 2022 dengan memasuki kelompok ranking 30 terbaik dunia di akhir 2022.
Dia kini berada di ranking ke-35 dunia, satu anak tangga di belakang pemain China, Li Shi Feng.
Pemain perseorangan lelaki terabik negara ketika ini, Lee Zii Jia di ranking keempat dunia Liew Daren ke-29, adalah pemain yang bernaung di kelab sebagai pemain professional.