PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tidak disenaraikan untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China, awal Februari ini.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata badan induk badminton negara memberi keutamaan kepada objektif jangka panjang dan pendedahan pemain pelapis berbanding hanya bergantung kepada nama besar.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh tidak menolak peranan pemain profesional tetapi leboh diperlukan pada kempen Piala Thomas.
“Untuk BATC, saya rasa tidak bagi Zii Jia serta Sze Fei–Izzuddin, namun mungkin untuk Piala Thomas nanti,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan Myanmar, dengan Indonesia dijangka menjadi ujian terbesar pada peringkat awal kejohanan berpasukan itu.
Kenny menegaskan sasaran utama adalah memberi pengalaman kepada pemain pelapis sebagai persediaan menghadapi cabaran lebih besar pada Piala Thomas akan datang.

Arif Junaidi-Yap Roy King antara yang dipertimbang ke BATC.
Skuad lelaki bakal menampilkan tonggak utama seperti beregu nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu ranking kelima dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun, manakala beberapa pelapis turut dipertimbangkan.
Bagi skuad wanita, Malaysia diundi dalam Kumpulan W bersama China, sekali gus memastikan tiket ke peringkat kalah mati memandangkan hanya dua pasukan dalam kumpulan tersebut.
Kenny optimis Malaysia mampu mencabar pasukan pilihan lain, walaupun menghadapi cabaran getir, dengan pengalaman BATC menjadi persediaan penting menjelang Piala Thomas nanti.