PERSEORANGAN lelaki negara, Ng Tze Yong memilih untuk bersabar menanti masa sesuai kembali ke gelanggang, sambil percaya proses pemulihannya kini berada di landasan tepat.

Pemain yang dibelenggu siri kecederaan itu optimis mampu beraksi semula pada pertengahan tahun ini, sekiranya berjaya melepasi semua ujian kecergasan yang ditetapkan pasukan kejurulatihan.

Menurut Tze Yong, momentum latihan semakin dirasai apabila beberapa pergerakan ditambah baik sekali gus meningkatkan keyakinannya untuk mendapatkan semula prestasi sebenar.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan segala keputusan berkaitan kepulangannya ke kejohanan kompetitif bergantung sepenuhnya kepada penilaian jurulatih dan barisan perubatan.

Ng Tze Yong menjalani latihan ringan di bawah pemantauan jurulatih, Tey Seu Bock, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Pertengahan tahun ini akan kembali beraksi sekiranya semua berjalan lancar kerana bukan saya seorang saja buat keputusan tetapi ia melibatkan jurulatih dan fisioterapi,” katanya ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Tze Yong mengakui proses pemulihan berjalan positif tanpa sebarang kesakitan, namun menekankan keperluan untuk lebih konsisten dalam menjalani latihan harian.

“Saya rasa proses sangat bagus sebab tak ada sakit cuma sekarang saya kena lebih konsisten sebelum boleh lihat tahap sebenar permainan saya,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Tze Yong beraksi adalah pada Masters Malaysia Mei 2025 sebelum terpaksa menarik diri akibat kecederaan, namun dia menegaskan tekad untuk terus berjuang demi kembali ke pentas tertinggi.