LEONG Jun Hao disahkan tidak mengalami kecederaan serius sebaliknya menarik diri daripada Masters Indonesia sebagai langkah awal mengelakkan risiko kecederaan kecil menjadi lebih besar.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen berkata keputusan itu dibuat selepas pemain berkenaan tidak dapat menjalani latihan sepenuhnya sebelum berlepas ke Jakarta.

Menurut Jonassen, fokus utama skuad perseorangan lelaki ketika ini adalah beberapa kejohanan di Eropah termasuk Seluruh England yang memerlukan tahap kecergasan dan persediaan optimum.

Kenneth Jonassen berhati-hati dengan kondisi pemain bagi mengelakkan kecederaan serius.

“Pertama sekali, dia berdepan beberapa isu kecil yang menghalangnya menjalani latihan dengan sempurna dan kami perlu menilai sama ada dia benar-benar mampu bersaing di tahap tertinggi tanpa memburukkan keadaannya,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Jonassen menjelaskan isu berkenaan bukan kecederaan serius, namun cukup untuk menghalang Jun Hao menjalani latihan dengan tekanan maksimum.

“Saya tidak mahu mengulas secara terperinci, namun ia bukan kecederaan serius dan kami tidak mahu mengambil risiko dalam kejohanan bertaraf Super 500,” katanya.

Beliau memaklumkan Jun Hao kini diletakkan dalam program pemulihan dan latihan kecergasan bagi memastikan tahap fizikalnya berada pada kondisi terbaik menjelang kempen Eropah.

Dalam perkembangan sama, Jonassen berharap Justin Hoh dapat memanfaatkan peluang di Masters Indonesia dengan beraksi lebih agresif apabila dijadualkan menentang wakil China, Wang Zheng Xing pada pusingan pertama.