UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi membuktikan kehebatan mereka sebagai juara bertahan bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, selepas berjaya menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam perlawanan akhir dengan kemenangan 2-1 pada Jumaat.

Gol kemenangan penting dijaringkan oleh Fakhrur Razi pada minit ke 115, memastikan UiTM mempertahankan pingat emas yang diraih mereka.

Fakhrur, yang turut dinobatkan sebagai atlet bola sepak terbaik kejohanan, meluahkan rasa syukur kerana telah berjaya membantu pasukannya mengekalkan kejuaraan tiga kali berturut-turut.

“Alhamdulillah perasaan saya sangat lega dan bersyukur selepas menjaringkan gol kemenangan untuk mengekalkan kejuaraan tiga kali berturut turut untuk UiTM,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Selain membawa pulang hadiah wang tunai RM200, gol yang dijaringkan beliau turut memiliki makna tersendiri kerana ini merupakan penyertaan pertamanya dalam SUKIPT.

“Semestinya ia bermakna kerana ini merupakan SUKIPT pertama saya dan saya dapat menjaringkan gol di perlawanan akhir, ia sangat-sangat bermakna buat diri saya,” ujarnya lagi.

FOTO : UITM UNITED

Fakhrur juga berterima kasih kepada penyokong yang tidak henti memberikan sokongan yang padu kepada pasukan UiTM.

“Terima kasih kepada semua penyokong UiTM tidak kira anda dari mana yang sentiasa ada di belakang kami yang mendoakan kejayaan pasukan ini dan ya, terima kasih sangat-sangat kerana anda semua kami juara,” katanya lagi.

Gol pembukaan perlawanan dijaringkan oleh Ahmad Taufik Lukman pada minit ke 12, Manakala UKM membalas menerusi sepakan penalti Muhamma Hadi pada minit ke 38.

Dengan kemenangan tiga kali berturut-turut ini, UiTM berjaya membuktikan dominasi mereka sebagai raja bola sepak SUKIPT sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai juara bertahan.