PELAKSANAAN sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) diyakini akan memberi impak positif dalam usaha meningkatkan kualiti dan imej saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah isu mutu pengadilan yang sebelum ini menjadi buah mulut semua pihak saban tahun tidak lagi timbul dengan pengenalan sistem VAR dalam perlawanan musim ini.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC (TFC), Mohd. Syahrizan Mohd. Zain, berkata, pelaksanaan VAR tepat pada masanya membabitkan kelab Liga Super.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC , Mohd. Syahrizan Mohd. Zain

Namun beliau mengakui penerimaan kelab, pemain, jurulatih atau penyokong terhadap keputusan dan proses VAR mungkin mengambil sedikit masa.

“Bukan sahaja TFC, kelab lain juga (tahun lalu) ada hantar tuntutan atau meminta penjelasan berhubung beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat.

“Dengan VAR, kita lihat ianya mula memberi impak positif dalam perlawanan ujian yang sedang berjalan dan saya yakin kualiti Liga M akan bertambah baik dengan sistem ini.

“Kita juga harap tidak timbul isu berbangkit selepas ini dan VAR akan diterima dalam kalangan semua pihak walaupun mungkin ada kesulitan di peringkat awal,” katanya.

Sesi penerangan daripada MFL mengenai sistem VAR

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat pengoperasian sistem VAR bersama jurulatih dan pemain skuad Penyu di sini, hari ini.

Skuad TFC dijadualkan melalui aksi ujian VAR menentang Sri Pahang di Temerloh esok sebelum melayan kunjungan Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 3 Mei.