FOTO : MFL

KUALA Lumpur City FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan cabaran Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-2 pada aksi Liga Super di Alor Setar, sebentar tadi.

KL City bermula garang apabila sudah mendahului seawal minit ke-11 menerusi gol Paulo Josue dan membuatkan Kalamullah Al Hafiz terpaku.

Pemain import Kedah, Jonathan Balotelli segera menyamakan kedudukan m-25 sekali gus gol ketiga peribadinya musim ini.

Pada minit ke-30, penyokong tuan rumah terus ceria apabila sepakan percuma Lee Tuck ditanduk masuk oleh Bojan Ciger dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat masa pertama.

Bagaimanapun, kebangkitan pelawat bermula apabila Romel Morales menyamakan kedudukan buat KL City sebaik bersambung babak kedua.

Jaringan itu nyata menaikkan semangat pemain The City Boys dengan membuat beberapa percubaan bahaya ke kubu KDA FC dan mendominasi bola sebanyak 52 peratus atas padang.

Kemasukan Herlison Caion tidak sia-sia apabila dia bijak mendada hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan luar kotak penalti untuk meletakkan KL City di hadapan dengan gol pertamanya musim ini di minit 75.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Bojan Hodak meraih 12 mata dan naik ke tangga ketujuh liga selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Perlawanan seterusnya menyaksikan KL City bertemu pasukan PDRM FC pada 27 April depan manakala Kedah bakal berentap menentang Negeri Sembilan di Paroi pada Jumaat, 28 April 2023.