BAYANG-BAYANG boikot mula menyelubungi Piala Dunia apabila isu politik melangkaui garisan padang, dengan Jerman kini berada di persimpangan sukar menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Namun Berlin menegaskan keputusan muktamad bukan di tangan ahli politik, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada badan bola sepak negara itu.
Ketegangan tercetus susulan ancaman Presiden AS, Donald Trump terhadap Greenland yang menyaksikan Jerman tersenarai antara lapan negara Eropah berdepan tarif perdagangan.
Situasi itu mencetuskan suara lantang dalam kalangan ahli politik Jerman, termasuk Ahli Parlimen CDU, Roderich Kiesewetter, yang melihat penyertaan Piala Dunia sebagai sesuatu yang sukar diterima sekiranya perang dagang tercetus.
“Ia mesti jelas bahawa ini akan menjadi pengakhiran kerjasama dengan AS,” katanya, memberi gambaran tekanan politik mula menular ke arena sukan.
Namun kerajaan Jerman memilih pendirian lebih berhati-hati. Menteri Negara bagi Sukan, Christiane Schenderlein, menegaskan sukan tidak wajar dijadikan alat politik.
“Keputusan mengenai penyertaan atau boikot dalam acara sukan besar terletak sepenuhnya pada persatuan sukan yang berkenaan, bukan pada ahli politik,” katanya, seolah-olah melepaskan bola kepada persatuan bola sepak Jerman untuk membuat keputusan sukar itu.
Tekanan awam pula semakin ketara apabila tinjauan INSA mendedahkan hampir separuh rakyat Jerman bersedia menyokong boikot sekiranya AS terus berkeras.
Ketika sepak mula Piala Dunia semakin hampir, persoalannya kini bukan sekadar siapa juara di padang, tetapi sejauh mana bola sepak mampu kekal bebas daripada badai politik global.