HARAPAN ribuan penyokong tuan rumah untuk melihat Indonesia muncul juara akhirnya lebur di tangan Vietnam apabila skuad Golden Star Warriors membuktikan keampuhan mereka dengan menewaskan Garuda 1-0 dalam aksi final Piala Mandiri ASEAN B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Dibarisi pemain bintang seperti Nguyen Dinh Bac dan penjaga gol Tran Trung Kien, Vietnam kekal tenang walaupun diasak bertubi-tubi oleh Indonesia yang tampil garang sejak minit pertama dengan sokongan padu penyokong sendiri. Jens Raven menjadi taruhan utama di jentera serangan Indonesia, manakala Kadek Arel meneruskan tugas selaku kapten pasukan.

Namun segala usaha Garuda untuk menjaringkan gol menemui jalan buntu apabila disiplin tinggi barisan pertahanan Vietnam menyukarkan mereka menembusi kubu lawan.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-36 hasil rembatan jarak dekat Nguyen Cong Phuong yang memanfaatkan kekeliruan di hadapan gawang Indonesia — gol yang cukup untuk menobatkan Vietnam sebagai juara buat edisi kali ini.

Meskipun Indonesia cuba bangkit dengan deretan percubaan selepas itu, ketangkasan barisan pertahanan Vietnam dan kecemerlangan penjaga gol mereka mengekalkan kedudukan hingga tamat permainan.

Kejayaan ini menyaksikan Vietnam merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut dalam kejohanan B-23 serantau, sekaligus mengukuhkan status mereka sebagai kuasa bola sepak muda Asia Tenggara ketika ini.