PASUKAN B-19 Wanita Kebangsaan ditunjukkan jalan keluar dari Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 selepas tewas kepada Vietnam 6-0 dalam aksi Kumpulan B di Padang Atletik Jakabaring, Palembang, Indonesia pada Isnin.
Kekalahan itu sekaligus menyingkirkan anak-anak buah Cameron Ng yang terpaksa berpuas hati dengan tiga mata dari dua perlawanan namun pulang dengan satu pengalaman yang berharga.
Jurang pengalaman jelas ketara antara Malaysia dan Vietnam yang terkenal sebagai kuasa besar bola sepak Asean dan perkara ini diakui sendiri Cameron namun dia berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan para pemainnya.

Cameron Ng
“Kecewa dengan keputusan ini tetapi saya tidak boleh salahkan para pemain yang sudah memberikan segalanya di dalam padang seperti mana yang telah saya arahkan.
“Tiada apa yang perlu disesalkan kerana kita tewas kepada pasukan yang lebih baik dan lebih kuat serta perlu menerima hakikat yang kita belum cukup bagus untuk tewaskan Vietnam,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Skuad Young Tigress berjaya mengutip tiga mata dari dua perlawanan selepas menewaskan Singapura 1-0 pada Sabtu namun tidak berjaya ke separuh akhir selepas gagal menempatkan diri sebagai pasukan tempat kedua terbaik.

Meskipun tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya, pasukan B-19 ini tidak seharusnya merasa malu kerana rata-rata pemain dalam skuad ini berusia di bawah 17 tahun dan dibentuk untuk program jangka panjang.