SKUAD kebangsaan Harimau Malaya mencatatkan pencapaian membanggakan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada tahun 2024, dengan peningkatan ketara yang mencerminkan usaha gigih dan perancangan strategik pasukan.
Pada April 2024, Harimau Malaya berada di kedudukan ke-138 dunia dengan 1,095 mata. Namun, hasil daripada beberapa keputusan positif dalam perlawanan antarabangsa, skuad kebangsaan berjaya mendaki enam anak tangga menjelang penghujung tahun.
Pada Oktober 2024, Malaysia melonjak ke tangga ke-133 dunia sebelum naik satu lagi anak tangga, berada di kedudukan ke-132 dunia dengan mengumpul 1,116 mata.
Peningkatan ini selaras dengan sasaran yang ditetapkan dalam Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 (2023-2026), yang menyasarkan Malaysia untuk terus mendaki ranking Fifadan muncul sebagai negara terbaik di rantau ASEAN.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menekankan bahawa fokus utama pemerkasaan skuad kebangsaan adalah untuk terus memperbaiki ranking Fifa.
Sehubungan itu, FAM menganjurkan lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan dengan ranking lebih tinggi untuk meningkatkan tahap permainan dan pengalaman pemain.
Sepanjang 2024, Harimau Malaya berdepan beberapa pasukan hebat di pentas antarabangsa, termasuk di Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan (ranking ke-23), Jordan (64), dan Bahrain (81).
Manakala, untuk perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan Oman (80), New Zealand (89), Thailand (97), Kyrgyzstan (107), dan Lubnan (112).
Keputusan positif dalam perlawanan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan skuad kebangsaan, tetapi juga membantu menambah mata dalam ranking Fifa.
Cabaran pertama Harimau Malaya pada tahun 2025 adalah aksi Kelayakan Piala Asia 2027, di mana pasukan negara dijadualkan bertemu Nepal, yang kini berada di tangga ke-175 dunia, pada 25 Mac depan.
Perlawanan ini diharapkan menjadi titik permulaan yang baik untuk mencipta lebih banyak kejayaan dan mendaki tangga lebih tinggi dalam ranking Fifa.
Peningkatan prestasi ini menjadi bukti kepada usaha konsisten Harimau Malaya untuk terus membawa nama Malaysia ke persada dunia, sekali gus membuktikan bahawa dengan perancangan rapi dan dedikasi tinggi, impian untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia suatu hari nanti bukanlah mustahil.