SELEPAS menawan Amerika Syarikat (AS) dengan empat kemenangan berturut-turut, jaguh pelari Menara Soh Wai Ching terbang ke kota London pula dan menawan bangunan kedua tertinggi di kota itu, 22 Bishopsgate.
Meskipun 22 Bishopsgate bangunan kedua tertinggi, namun ia adalah lapangan larian menara paling tinggi di kota itu membabitkan 1,436 anak tangga pada ketinggian 56 tingkat.
Ironinya, Wai Ching bukan sekadar memenangi Larian Menara RNLI itu malah mencipta rekod baharu lapangan dengan catatan masa 6 minit 52 saat.
“Penganjur RNLI memberi taklimat sebelum perlumbaan yang kami akan berlumba menaiki 1,120 anak tangga dan saya sangat biasa dengan ketinggian ini dan yakin dapat melakukannya di bawah catatan masa 6 minit.
“Jadi saya tetapkan penggera masa setiap 90 saat sepanjang larian pendakian. Saya memulakan larian tingkat pertama dan bacaan nadi mencecah 125 denyutan perminit (bpm), saya rasa ianya rentak yang saya inginkan.
“Penggera masa 90 saat pertama berbunyi, saya sudah berada di tingkat 13 setengah, manakala penggera 90 saat kedua pula, saya berada di tingkat 25,” katanya.
Pada perlumbaan itu, Wai Ching muncul juara dengan catatan 6m 52s mengatasi pelari jarak jauh Great Britain Daniel Joyce di tempat kedua dengan catatan masa 9m 13s dan tempat ketiga milik Buchan Richardson dengan catatan 9m 49s.