Wan Kuzain Wan Kamal mahu menggunakan setiap peluang yang diberikan untuk membuktikan kemampuannya bersama Harimau Malaya menjelang aksi penentuan menentang Filipina dalam perlawanan terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.

Pemain berusia 27 tahun itu mengakui kem latihan kali ini memberikan pengalaman baharu buat dirinya, terutama selepas sekian lama membina karier dalam saingan bola sepak di Amerika Syarikat.

Kekalahan 0-2 kepada Thailand sebelum ini tidak menjejaskan keyakinan Wan Kuzain dan rakan sepasukannya, sebaliknya skuad negara kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada pertemuan dengan Filipina yang bakal menentukan nasib Malaysia dalam kempen kejohanan tersebut.

“Saya sangat teruja untuk perlawanan esok (hari ini). Sudah tentu ini merupakan perlawanan yang sangat penting. Saya rasa seluruh pasukan dan semua orang begitu teruja untuk mengharungi perlawanan ini, dan saya percaya kami akan mempamerkan satu persembahan yang sangat baik,” katanya.

Bagi Wan Kuzain, peluang mewakili Malaysia mempunyai nilai sentimental yang besar kerana ia bukan sekadar berkaitan bola sepak, malah turut membawa nama keluarganya yang mempunyai hubungan dengan negara ini.

“Pada akhirnya, saya juga seorang penyokong. Saya ialah peminat bola sepak Malaysia. Jadi, selagi saya diberi peluang untuk menyarung lencana negara, mewakili Malaysia dan keluarga saya, saya akan memberikan segala-galanya,” katanya.

“Ia membawa makna yang sangat besar buat saya dan keluarga saya. Ayah saya berasal dari Kelantan, manakala ibu saya pula dari luar Kuala Lumpur. Jadi, peluang untuk memakai warna kebangsaan ini benar-benar amat bermakna buat saya,” katanya.

Mengulas pengalamannya sepanjang bersama skuad kebangsaan, Wan Kuzain menyifatkan kem latihan berkenaan sebagai pendedahan yang cukup positif apabila dapat bekerja secara langsung dengan barisan kejurulatihan serta pemain Harimau Malaya.

“Kem latihan kali ini benar-benar satu pengalaman yang sangat hebat. Saya berpeluang berada bersama barisan kejurulatihan, para pemain dan semua yang terlibat,” katanya.

Dia turut mengakui masih mempunyai pengalaman yang terhad mengenai bola sepak Malaysia, namun teruja melihat tahap profesionalisme yang dipamerkan dalam pasukan kebangsaan.

“Pengalaman saya dalam bola sepak Malaysia masih agak terhad. Namun, dapat melihat sendiri tahap profesionalisme yang ditunjukkan, sama ada di dalam mahupun di luar padang, memang sesuatu yang mengagumkan,” katanya.

“Dapat melihat bola sepak Malaysia berada pada tahap profesional yang setanding dengan apa yang saya biasa alami di Amerika memang sangat menyeronokkan dan membanggakan,” katanya.

Malaysia dijadualkan berdepan Filipina pada Sabtu, 8 Ogos 2026, jam 9 malam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.