SELEPAS sekadar berada dalam kelompok 10 terbaik edisi lalu, Quentin Cheng kini selangkah lagi untuk menamatkan penantian meraih pengiktirafan individu apabila berjaya menembusi senarai tiga finalis kategori Pertahanan Terbaik Liga M Awards 2025-2026.

Prestasi konsisten Quentin musim ini membuahkan hasil apabila tonggak pertahanan Selangor FC itu buat julung kalinya berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik bersaing sengit dengan dua pencabar, Rodney Celvin (Kuching City FC) dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC).

Quentin menyifatkan pencalonan ini satu pengiktirafan bermakna selepas usaha kerasnya untuk cuba memberikan persembahan yang konsisten di bahagian pertahanan, sekali gus membantu skuad Gergasi Merah kekal sebagai antara pasukan kompetitif dalam Liga Super musim lalu untuk berada di kedudukan ketiga.

Belum pernah dinobatkan sebagai sebagai pemenang sebelum ini, pemain berusia 27 tahun ini nyata tidak berputus asa setiap musim untuk cuba menyumbang sebaik mungkin kepada pasukan dalam 28 penampilan perlawanannya sebelum ini selain menjadikan pencalonan ini sebagai suntikan motivasi untuk memulakan musim baharu nanti.

“Sudah tentu saya rasa bangga sebab dapat tercalon sebab ini menandakan pengiktirafan yang bermakna selepas mengharungi musim menakjubkan dengan kelab ini.

“Saya rasa saya dah berusaha untuk cuba menyumbang sebaik mungkin terutamanya di bahagian pertahanan dan sudah tentu dengan kerjasama rakan-rakan sepasukan lain.

“Tapi, kedua-dua pencabar (Rodney dan Ubaidullah) memang pemain yang berkualiti, kita boleh tengok macam mana mereka bantu kelab masing-masing untuk dapatkan pencapaian terbaik. Dan sudah tentu saya rasa bangga dapat tercalon bersama-sama dengan dua nama pemain ini.

“Dan sama-samalah kita nantikan, harap yang terbaik akan jadi pemenang”, katanya.

Majlis pengiktirafan bagi menghargai pencapaian terbaik sepanjang musim Liga Malaysia 2025-2026 ini anjuran Malaysian Football League (MFL) akan diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur, pada 12 Ogos 2026 (Rabu) bermula jam 8.30 malam hingga 10.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan+ dan RTMKlik.