PESILAT wanita negara Siti Shazwana Ajak mendedahkan dia apabila tidak pernah terlintas di benak fikiran mencipta nama sebagai atlet negara.
Mengimbas kembali perjalanan sebagai atlet, Siti Shazwana atau lebih mesra dipanggil Wana mula menceburi diri dalam sukan bola jaring semasa menghabiskan pengajian diplomanya sebelum ini.
Namun dalam masa sama, dia mula berjinak-jinak dalam sukan seni bela diri, silat. Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Bakat Anak kelahiran Sabah ini berjaya dikesan beberapa rakan termasuk jurulatih sekaligus dia diserap dalam skuad kebangsaan menjadi pesilat negara yang digeruni ketika ini.
Mula berjinak dalam silat pada tahun 2011, dia memulakan kareernya dengan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dan kredibilitinya semakin memukau apabila kali ini berjaya pula mewakili negara pada 2017.
“Sebenarnya, Wana memang seorang yang aktif bersukan. Dari diploma aktif sukan bola jaring pada masa itu Wana dapat kenal sukan silat. Mencuba punya pasal, sampai sekarang jadi pesilat! Wana jenis yang suka ramai kawan, sebab itu suka bersukan, memandangkan dalam proses belajar itu ada kesempatan untuk bersukan, selagi itulah Wana pilih menjadi pelajar dan atlet.
“Secara jujur, Wana bukan seorang yang gemar belajar, tapi sukan yang mendorong untuk meneruskan pelajaran. Saya tak pernah jangka belajar sampai ke tahap ini, kadang-kadang tertanya biar betul saya ini,” kata penuntut PhD Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia itu.
Sementara itu, anak bongsu dari lima orang adik beradik turut berkongsi dengan penulis cara bagaimana dia membahagikan masanya antara pelajaran dan sukan supaya dapat mengekalkan kecemerlangan dalam kedua-dua bidang.
“Waktu sukan adalah waktu sukan, jangan fikir lain. Masa belajar fokus belajar. Sebab manusia takkan boleh buat dua benda ini dengan serentak sebab itu kena fokus satu-satu dulu. Saya akui lebih banyak ersukan daripada belajar sebab bersukan buat Wana gembira. Bersukan akan didik kita jadi orang bijak dan berdisiplin. Percayalah saya!
“Rasanya kunci sebenar adalah fokus. Fokus dengan apa yang kita tengah buat. Jadi benda itu akan jadi mudah. Buang segala anasir yang mengganggu fokus kita,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Bagaimanapun, pesilat berusia 29 tahun itu mengakui sebagai manusia dia tidak terlepas daripada tekanan dan berasa seakan-akan hampir berputus asa, namun tetap positif melalui ranjau penuh berduri sebagai atlet, anak dan juga pelajar.
“Rasa down ni selalu je rasa. Nak share sikit, paling rasa down itu masa Wana belajar master (Ijazah Sarjana). Rasa down sebab Wana keseorangan. Wana tak ada kawan yang dikenali. Lepas tu dalam team pun seorang sahaja yang masih belajar, jadi saya tak gembira. Pun begitu saya kena teruskan juga lah sebab misi hidup saya selagi bersukan selagi itulah belajar!.
“Fikir positif dan cakap untuk lawan balik perasaan itu. Sahabat-sahabat yang rapat pun selalu juga bagi kata-kata positif dan semangat supaya Wana bertahan dan teruskan belajar. Tapi fikir-fikir balik, Wana rasa doa ibu yang buatkan Wana teruskan,” tambahnya.