Penyerang Aston Villa, Ollie Watkins memuji peranan besar pengurus Unai Emery selepas membantu kelab itu mara ke final Liga Europa UEFA buat kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad.

Villa memastikan tempat ke final selepas membelasah Nottingham Forest 4-0 pada aksi separuh akhir kedua di Villa Park awal pagi tadi untuk mara dengan agregat 4-1.

Watkins membuka jaringan buat tuan rumah sebelum Emiliano Buendia dan kapten pasukan John McGinn menambah gol bagi memastikan kemenangan bergaya Villa di hadapan penyokong sendiri.

Kejayaan itu meletakkan Villa selangkah lagi untuk menamatkan kemarau trofi utama sejak 1996 selain memburu gelaran Eropah pertama sejak menjulang Piala Eropah pada 1982.

Mereka bakal berdepan SC Freiburg pada final di Istanbul, 20 Mei ini.

Watkins percaya pengalaman Emery di pentas Liga Europa menjadi antara faktor utama kebangkitan Villa musim ini.

“Tiada pengurus lebih baik untuk mempersiapkan kami bagi perlawanan seperti ini dan membawa kami ke final. Rekodnya sudah membuktikan semuanya,” katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu sememangnya terkenal dengan reputasi cemerlang dalam kejohanan tersebut selepas pernah menjulang trofi Liga Europa sebanyak empat kali bersama Sevilla dan Villarreal.

Walaupun gembira dengan kejayaan mara ke final, Watkins mengingatkan rakan sepasukan bahawa tugas sebenar masih belum selesai.

“Kami berada pada kedudukan yang baik, tetapi kami masih perlu pergi ke sana dan menang,” katanya lagi.

McGinn turut mengakui pengalaman Emery dalam aksi besar Eropah banyak membantu pasukan menghadapi tekanan sepanjang kempen musim ini.

“Dia sudah melalui banyak aksi separuh akhir Eropah berbanding kami. Beliau memang luar biasa,” kata pemain tengah Scotland itu.

Villa hadir ke perlawanan tersebut dengan tekanan selepas tewas dalam tiga aksi terakhir semua pertandingan termasuk kekalahan 0-1 kepada Forest pada aksi pertama.

Namun Watkins berkata seluruh skuad berjaya bangkit dengan memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan di Villa Park.

“Selepas aksi menentang Tottenham, semua pemain hanya memikirkan perlawanan ini.

“Semua bekerja keras dan sukar memilih pemain terbaik perlawanan kerana semua beraksi hebat,” katanya.

Sumber Gambar: FB Aston Villa