KEJAYAAN India menamatkan kempen Thomas Cup 2026 di tempat ketiga bukan sahaja mencuri perhatian kerana pencapaian di gelanggang, malah kisah di sebalik jersi mereka turut menyentuh hati peminat badminton dunia.
Di sebalik deretan pasukan besar yang lengkap ditaja dengan kelengkapan rasmi dan sokongan komersial, skuad India tampil berbeza apabila pemain-pemain mereka sendiri mengambil inisiatif menghasilkan jersi
khas sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kami mereka sendiri jersi Thomas Cup ini dan mencetaknya secara sendiri. H. S. Prannoy yang memberi idea untuk kami memakai baju yang bertulisan ‘Thomas Cup’ bersama satu bintang serta kami menghasilkan dua rekaan baju berwarna hitam dan putih.”
“Kami membeli dan menghantar baju tersebut untuk dicetak. Hasil daripada penjualan beberapa helai baju-T itu pula disumbangkan kepada badan kebajikan,” kata Satwiksairaj Rankireddy ketika ditemu bual.
Menurut Satwik, mereka menghasilkan dua warna jersi iaitu hitam dan putih sebelum membelinya menggunakan wang sendiri untuk dicetak.
Lebih menarik, hasil jualan beberapa helai baju tersebut turut disalurkan kepada badan kebajikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan yang diterima sepanjang kempen berlangsung.
Walaupun tanpa kempen penajaan besar seperti beberapa kuasa badminton dunia lain, semangat kebersamaan dan usaha yang ditonjolkan skuad India nyata menjadi antara cerita paling menyentuh sepanjang kejohanan kali ini.
Ironinya, beberapa pasukan yang hadir dengan sokongan penaja penuh dan kelengkapan rasmi bertaraf antarabangsa gagal menamatkan saingan di podium, manakala India membuktikan bahawa semangat sepasukan dan kebanggaan mewakili negara kadangkala lebih bernilai daripada segala kemewahan di luar gelanggang.