PENYERANG DPMM FC, Ramadhan Sananta berharap mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan terutamanya di hadapan penyokong untuk aksi terakhir pasukan di laman sendiri berdepan Sabah FC, Sabtu ini.

Berbaki dua lagi perlawanan Liga Super sebelum musim 2025-26 menutup tirai, penyerang dari Indonesia ini mengakui aksi tersebut yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pastinya cukup bermakna buat penyokong yang sudah tentu ingin merasai kemenangan selepas kali terakhir mereka meraih 3 mata di laman sendiri pada Januari lalu berdepan PDRM FC.

Ramadhan sedar ancaman The Rhinos yang dianggap sebagai lawan berkualiti untuk mereka melakar kejutan lebih-lebih lagi dengan jurang mata yang rapat antara kedua-dua pasukan ini.

“Aksi melawan Sabah FC terutama di laman sendiri sudah tentu istimewa secara peribadi untuk saya dan kita nak akhiri perlawanan di stadium ini dengan kemenangan sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang setia menyokong kami.

“Untuk saya, Sabah merupakan pasukan yang cukup bahaya, dan hanya dibezakan tiga mata sahaja dalam liga dengan kami di tangga ke 8 manakala mereka di kedudukan 10, apa sahaja boleh berlaku.

“Kita tidak boleh lalai kerana setiap minit itu sangat berharga dan kita tidak mahu lawan memanfaatkan setiap kesilapan kita di atas padang”, katanya.

Kali pertama bersaing di pentas Liga Malaysia musim ini, Ramadhan tidak lupa segala tunjuk ajar dan pengalaman berharga yang telah diraih sepanjang musim sambil nenyifatkan tahap intensiti antara lawan banyak membentuk dirinya sebagai pemain.

“Perjalanan saya bersama DPMM FC sehingga sejauh ini cukup bermakna dan banyak yang saya dah belajar baik daripada aspek permainan dan tahap keserasian dengan kepelbagaian pemain yang ada di Liga Malaysia.

“Suasana di stadium-stadium juga memberikan aura yang berbeza dan setiap perlawanan yang saya tempuhi ada pengalaman tersendiri dan itu sangat bagus untuk perkembangan saya sebagai pemain”, tambahnya.

Satu lagi perlawanan Liga Super iaitu aksi terakhir untuk DPMM FC adalah pada 15 Mei menentang Penang FC di Stadium Bandaraya.