BELUM pun hilang kehangatan kejayaan menyapu bersih lima pingat emas di Doha, Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi kini bersedia melakukan menyinar lagi, kali ini Kejohanan Remaja Asia bawah 21 tahun (B21) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ratu remaja Asia itu sudah membuktikan dia bukan calang-calang pencabar apabila melakar sensasi di Kejohanan Remaja Asia Bawah 18 tahun dengan menyambar emas dalam acara individu, beregu, berpasukan, All Events dan Masters.

“Selepas kejayaan ini, tumpuan saya adalah pada akademik dan dalam masa sama meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang,” katanya, penuh yakin ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Skuad bowling remaja negara, cemerlang membawa pulang 7 pingat emas dari Kejohanan Bowling Remaja Asia B18 di Doha.

Pelajar SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi itu mengakui perjuangannya belum selesai kerana jadual hariannya padat sejak pagi hingga malam, membahagikan masa antara kelas, latihan dan ulang kaji pelajaran.

“Cabaran paling sukar adalah untuk mencari keseimbangan antara kedua-duanya kerana ibu bapa sentiasa mahu saya berjaya dalam sukan dan juga pelajaran,” ujarnya.

Kejayaan di Doha itu, menambah koleksi cemerlang atlet berusia 17 tahun yang sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga kategori Terbuka Wanita di Terbuka Hong Kong.

Mengulas kemungkinan disenaraikan ke Sukan SEA Thailand Disember ini, Qurratu’ain enggan terlalu memikirkan jauh, sebaliknya mahu berikan sepenuh fokus di Kejohanan Remaja Asia Bawah 21 di Sunway Mega Lanes, hujung bulan ini.