SELEPAS hampir hampir tiga dekad menanti, akhirnya 26 bekas pemain bola sepak Selangor mendapat ganjaran kemenangan Piala Malaysia 1995 apabila menerima Rumah Selangorku Idaman.
Proses cabutan undi dan menandatangani perjanjian serahan hartanah bagi Pangsapuri Idaman Abadi, Batu 18, Kajang 2, Hulu Langat dilakukan di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri pada Khamis.
EXCO Perumahan, Rodziah Ismail berkata negeri bersetuju menawarkan rumah jenis E bernilai RM250,000 seunit dengan serahan kunci dijangka awal tahun depan.
Katanya, rumah berkeluasan 1,022 kaki persegi itu sebagai ganti dan penyelesaian tuntutan skuad Selangor FA pada 30 Mac lalu, hasil perbincangan dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Kerajaan Negeri peka dan mendengar rintihan serta tuntutan skuad Selangor FA 1995 berhubung janji pimpinan terdahulu bagi penganugerahan sekeping tanah seluas seekar kepada setiap pemain.
“Saya membangkitkan isu ini agar dapat diselesaikan segera sebelum berbincang dengan LPHS pada 30 Mei bagi memaklumkan komitmen menyelesaikan penantian dijanjikan hampir 27 tahun,” katanya yang turut menyasikan proses itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Wira Piala Malaysia 1995 bakal terima Rumah Selangorku
Hari ini bersama-sama Skuad Selangor FA 1995 membuat cabutan undi unit rumah yang ditawarkan menggantikan tanah yang dijanjikan sempena kemenangan Piala Malaysia 1995. https://t.co/GSDJefRPVI pic.twitter.com/a5OhcJI2JY
— Rodziah Ismail (@Rodziah_Ismail) December 8, 2022
Rodziah berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju menanggung kos pemasangan kipas, lampu, penghawa dingin dan yuran penyelenggaraan selama dua tahun secara percuma.
“Keistimewaan ini akan memberikan kemudahan dalam urusan pemilikan dan penjualan pada masa akan datang kepada mereka,” katanya.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.
Susulan itu, setiap pemain dan pegawai pasukan Selangor dijanjikan ganjaran sebidang tanah berukuran 0.4 hektar.
ARTIKEL BERKAITAN : ‘Hutang tanah’ Skuad 1995 selesai, “Terima Kasih MB Amirudin”!