JUARA remaja dunia 2016, Sydney Chin terlepas pingat wushu, acara kimbinasi Taijijian + Taijiquan selepas dipintas atlet Brunei pada final yang berlangsung di Pusat Sukan Xiaoshan Guali.
Sydney berada di kedudukan kelima selepas acara Taijiquan sebelah pagi dengan catatan mata ketiga terbaik, sekali gus membuka peluang buatnya memburu pingat.
Dalam acara Taijiquan, Sydney mencatat 9.730 mata, ketinggalan 0.016 mata di belakang tiga pesaing, Chen Suijin dari Hong Kong, Law Zeanne Zhi Ning (Singapura) dan Basma Lachkar (Brunei) yang mencatat 9.746 mata, manakala Tong Xin dari China mendahului dengan 9.843 mata.

Sydney Chin… duduk di kerusi pendahulu tempat ketiga seketika sebelum dipintas atlet Brunei.
Menyedari peluang masih terbuka, Sydney meneruskan kecemerlangan dalam acara Taijijian, pada sebelah petang apabila meraih 9.730 mata sehingga berada di kedudukan ketiga selepas 12 peserta beraksi.
Namun sebaik Basma turun ke gelanggang, atlet Brunei itu mempamerkan aksi pedang yang kemas sekali gus memikat juri untuk memberikannya 9.756 mata, melonjak ke kedudukan kedua dan menyebabkan Sydney tergelincir ke tangga keempat.

Keputusan akhir acara kombinasi Taijiquan+Taijijian.
“Saya puas hati dengan persembahan kali ini kerana sasaran untuk Sukan Asia adalah memberi persembahan cemerlang dalam kedua-dua acara dan saya berjaya… soal pingat itu memang di luar kawalan.
“Saya sedih kerana terlepas pingat tetapi tidak mengapa,” kata Sydney.
Menurutnya, prestasinya di Temasya Hangzhou kali ini adalah yang terbaik membabitkan kombinasi acara, kerana berjaya mempamerkan aksi konsisten pada sesi pagi dan petang.

Fokus… Sydney Chin lebih tenang dan stabil dalam kedua-dua acara.
“Ini my best performance, now combined event tak ada masalah kerana saya sudah ada pengalaman di Sukan Sea lalu, jadi saya boleh kawal mental dan fizikal.”
Pingat emas acara itu dimenangi Tong Xin dari China apabila mengumpul 19.696 mata, perak milik Basma (Brunei) 19.502 mata manakala gangsa milik Chen Suijin (Hong Kong) 19.476 mata, manakala Sydney keempat dengan 19.456 mata.